DARURAT – ANTARA KONSENSUS DAN PERCANGGAHAN


 1. Tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang berbeza pandangan kepada satu keperluan mendesak untuk tangani pandemik global yang melanda negara. Ia menjadi konsensus atau persetujuan secara ijmak bahawa mengatasi covid 19 adalah tanggungajwab nasional setiap warganegara.

2. Sebab persetujuan mutlak adalah kerana setiap kita mesti membina ketahanan nasional sebagai benteng terakhir bagi menyelamatkan negara dan warganya dari dihancurkan oleh penangan wabak ini.

3. Kita bersetuju secara konsensus bahawa kesan paling utama terjejas teruk adalah aktiviti ekonomi ke atas setiap rakyat di sektor swasta dan yang bekerja sendiri. Penderitaan yang dialami dalam keluarga dan masyarakat adalah tanggungjawab kita bersama untuk kita tangani.

4. Namun negara kita juga pada waktu yang sama melalui krisis politik dengan masalah kerajaan yang lemah dan secara berperlembagaannya tidak ada keabsahan majoriti. Bagaimana konsensus di atas dapat digerakkan bersama jika kerajaan PN hari ini adalah sebuah kerajaan yang tidak kompeten dan tidak mematuhi perlembagaan negara?

5. Sebaik jalan adalah TSMY akur kehilangan majoritinya dan menyerahkan kepada yang ada majoriti melalui proses perlembagaan jua supaya sebuah kerajaan yang sah dapat dibentuk dan berupaya mengembalikan kepercayaan rakyat untuk mengatasi masalah pandemik ini.

6. Tanggungjawab kerajaan baru adalah meneruskan peruntukan undang-undang yang ada dengan mengukuhkan konsensus mengatasi isu penularan dan peningkatan covid 19. Pada waktu yang sama tanggungjawab kerajaan baru ialah mengembalikan demokrasi dan kepercayaan orang ramai terhadap insitutusi pemerintahan dengan mengambil masa sebelum pembubaran wajib pada tahun 2023 untuk tujuan tersebut. Kerajaan baru ini adalah kerajaan yang membentuk satu konsensus lebih besar yang dinamakan sebagai KERAJAAN KONSENSUS NASIONAL.

7. Tiada percanggahan dari sudut membentuk ketahanan nasional dalam mengatasi covid 19 malah ia adalah satu konsensus. Percanggahan pendapat hanyalah kepada cara mengatasi krisis politik yang pada hemat kami harus kembali kepada peruntukan perlembagaan tanpa berkompromi pada asas-asas demokrasi. Parlimen dan DUN tidak perlu digantung. Malangnya darurat telah mengurangkan semua peruntukan demokratik malah juga hak asasi dan institusi keperwakilan tidak lagi berperanan secara sepenuhnya.

Kita bina konsensus bersama dan cari jalan penyelesaian lebih tuntas dalam perbezaan kita memahami pendekatan mengatasi krisis politik yang telah menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi pemerintahan dan politik.

DS Dr Mujahid Yusof Rawa

Ahli Parlimen Parit Buntar

Naib Presiden AMANAH

15 Jan 2021.


No comments: