Pendirian blok pembangkang secara
prinsipnya adalah menolak darurat yang perlaksanaannya adalah atas nasihat
Muhyiddin Yassin yang ditanggapi sudah hilang sokongan majoriti kepada Yang
Dipertuan Agong.
Mesyuarat Majlis Presiden dalam
kenyataannya dua hari lalu menyebut, mereka mengambil pendirian menolak
rasional serta alasan-alasan yang telah diberikan Muhyiddin bahawa kononnya
kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan negara daripada ancaman
Covid19.
Majlis Presiden juga melihat
perlaksanaan darurat yang turut menggantung Parlimen pada ketika pihak
eksekutif dan kehakiman boleh berjalan seperti biasa boleh menjejaskan proses
semak dan imbang, merencatkan demokrasi serta menafikan suara rakyat, sekaligus
memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk melakukan apa saja dengan
sewenang-wenangnya.
Untuk itu, sesuai dengan
pendirian tersebut, tidak ada keperluan sama sekali untuk pihak pembangkang
menerima pelawaan kerajaan untuk menganggotai jawatankuasa khas mengenai
darurat.
Sebelum ini Anwar Ibrahim
difahamkan telah menerima surat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Takiyuddin Hassan agar memberikan tiga nama bagi menganggotai jawatankuasa
tersebut.
“Ya, Takiyuddin telah
menghantar surat awal petang semalam kepada Anwar atas kedudukannya sebagai
Ketua Pembangkang.
“Menteri telah meminta Anwar
menyerahkan tiga calon untuk mewakili pembangkang mewakili jawatankuasa bebas
itu,” kata satu sumber.
Sementara itu, DAP pula mahu
melihat perincian mengenai jawatankuasa tersebut terlebih dahulu sebelum
membuat sebarang keputusan.
Setiausaha Organisasi
Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, partinya tidak dapat memberikan
komitmen untuk menyertai jawatankuasa itu tanpa terlebih dahulu mengetahui
perincian dan bidang kuasa jawatankuasa berkenaan.
“Kami perlu dapatkan perincian
terlebih dahulu, termasuklah tujuan dan bidang kuasa jawatankuasa itu.
“Tanpa perincian, kami tak
dapat beri komitmen kami,” kata Ahli Parlimen Seremban itu lagi.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz
Omar, menggesa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang tidak
menyertai jawatankuasa khas bebas yang akan ditubuhkan berhubung pelaksanaan
darurat.
Beliau berkata, pembangkang
perlu menolak untuk menyertai jawatankuasa itu kerana proklomasi darurat telah
diumumkan oleh seorang Perdana Menteri dan kerajaan yang sudah hilang sokongan
majoriti Ahli Parlimen.
Katanya, jika pembangkang
setuju menyertai jawatankuasa itu, ia bermakna mereka memperakui keabsahan
Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Sesungguhnya, apa yang
dihujahkan oleh Mahfuz ini amat tepat dan wajar dijadikan pendirian bersama
yang kekal oleh blok pembangkang.
Tidak perlu mana-mana pihak
cuba bersikap lunak atau berlembut untuk menganggotai jawatankuasa darurat itu.
Selain itu, dengan sudah
menolak perlaksanaan darurat dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, bersetuju
menganggotai jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan bererti pembangkang
telah mencabuli ketetapan sendiri.
PH dan blok pembangkang sebaliknya mesti kekal dengan pendirian terus berjuang menolak darurat sehingga ia dibatalkan kerana rakyat sendiri ternampak tidak gembira dengannya.
(Shahbudindotcom 14/01/2021)