1 sekolah di Melaka, Terengganu ditutup sementara akibat Covid-19

 

Penutupan sementara dua sekolah itu bagi membolehkan kerja sanitasi dijalankan pihak berkuasa. (Gambar Bernama)

KOTA MELAKA: Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah di Durian Daun di sini diarah tutup selama seminggu selepas seorang guru disahkan positif Covid-19.

Exco Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal, Vokasional, Sains dan Inovasi) negeri, Noor Effandi Ahmad berkata, penutupan yang bermula hari ini hingga 28 Jan itu bagi membolehkan kerja sanitasi dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka.

“Kita difahamkan guru tersebut tidak bergejala dan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan individu tersebut juga diminta membuat saringan Covid-19.

“Bagaimanapun, ini merupakan kes terpencil dan ibu bapa tidak perlu bimbang kerana tindakan segera telah dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi.

Effandi berkata, semua guru serta 499 pelajar Tingkatan enam yang merupakan kontak rapat guru itu diarah menjalani kuarantin selepas dihubungi Pusat Kesihatan Daerah Melaka Tengah.

Katanya, semua yang terlibat juga diarahkan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semasa penutupan sementara sekolah itu.

Sementara itu, Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman mengesahkan perkara itu dan kes masih disiasat.

Di Terengganu, Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu ditutup 14 hari sehingga 5 Feb ini susulan lapan kes positif Covid-19 di sekolah itu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Nor Azimi Yunus berkata, penutupan itu bagi membolehkan kerja membasmi kuman dilakukan dalam usaha mengekang penularan virus itu.

“Semua aktiviti dalam kawasan sekolah perlu ditangguhkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Penutupan sementara itu dijalankan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak penularan penyakit berjangkit.

Azimi mengingatkan orang ramai memberi maklumat benar berkaitan Covid-19 kepada petugas kesihatan, terutama mengenai sejarah perjalanan, kontak rapat, tanda dan gejala yang dialami.

Terengganu merekodkan kes positif Covid-19 tertinggi semalam ini sebanyak 178 kes.



No comments: