POSTED BY AMIR WRLR
Pejabat
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik menganjurkan program Ujian Antigen RTK
Covid-19 dengan harga diskaun serendah RM50 untuk pengundi di kawasan
berkenaan.
Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata program tersebut dilaksanakan bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menghadapi kekangan dalam melakukan ujian saringan Covid 19 berskala besar.
Menurut Najwan, bukan pengundi juga dipertimbangkan untuk melakukan ujian sekiranya terdapat keperluan mendesak.
"Progran antigen ini untuk pengundi DUN Anggerik. Tetapi jika bukan pengundi, ada keperluan urgent untuk seseorang itu buat ujian ini, kita akan bantu.
"Sasaran utama kita (dalam program ini) lebih kepada memberikan kemudahan, meringan beban pengundi di Kota Anggerik, orang Shah Alam amnya.
"Sebab di Selangor kes Covid tinggi. Kalau satu hari 3,000 kes, Selangor yang paling tinggi. Semalam pun Selangor lebih kurang 1,000 kes.
"Usaha ini juga adalah untuk membantu KKM. Kita sedia maklum KKM sekarang berdepan keterbatasan. Hospital tak cukup, pusat isolasi pun terpaksa dibuka.
"Diharap usaha kecil kami ini dapat mengesan individu yang berpotensi dijangkiti Covid 19," katanya dalam temuramah siaran langsung bersama Suara Keadilan.
Ujian RTK Covid 19 berkenaan dibuat di perkarangan klinik Selcare Shah Alam, No 4, Jalan Snuker, Seksyen 13, Shah Alam.
Klinik Selcare adalah milik Selgate Corp Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan Selangor yang menyediakan rawatan perubatan dengan harga berpatutan.
Dalam pada itu, menurut Najwan lagi, pusat khidmat beliau menanggung RM90 bagi kos setiap ujian Covid yang dilakukan dan tawaran tersebut terbuka untuk warga Kota Anggerik.
"Kalau ikutkan kos buat ujian antigen ini RM140. Di sini untuk pengundi Kota Anggerik ditawarkan bayaran RM50. Selebihnya ditanggung oleh pejabat DUN Kota Anggerik.
"Saya harap program ini memberi manfaat kepada warga Shah Alam dan pengundi Kota Anggerik.
"Masa kita tidak letak tempoh, sepanjang PKP kalau ada (individu berminat) boleh daftar, berhubung dengan pejabat saya dan daftar secara atas talian.
"Kita akan saring. Kalau boleh kita pastikan tak berulang. Kita nak beri peluang seramai mungkin untuk ujian antigen ini," katanya lagi.
Borang pendaftaran ujian antigen Covid 19 boleh didapati melalui pautan pendaftaran: t.ly/6yeD atau berhubung di talian 018 4004510. Pemohon juga boleh memuat turun aplikasi SELangkah di Google Play.