PKP mungkin lama, kembalikan moratorium, subsidi upah - Ahli Parlimen pembangkang



Jangkitan baharu Covid 19 yang berterusan di atas 2,000 kes sehari membayangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2021 tidak akan ditamatkan dalam tempoh segera.

Menurut Ahli-ahli Parlimen pembangkang, tidak mustahil PKP kali ini akan berlanjuran sebagaimana siri pertama tahun lalu yang mencecah lebih dua bulan.

Sehubungan itu, kata mereka adalah wajar sekiranya kerajaan darurat Tan Sri Muhyididn Yassin mengembalikan bantuan yang pernah diberi kepada rakyat sebagaimana PKP 1.0 pada tahun lalu.

"Walaupun PKP 2.0 baru sahaja dilanjutkan, Malaysia belum lagi menyaksikan penurunan jumlah kes Covid-19. Keyakinan para pelabur tempatan mahupun antarabangsa berada pada tahap terendah dan pakej rangsangan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 18 Januari 2021 baru-baru ini hanyalah bersifat kosmetik dan tidak memadai berbanding kesan daripada PKP 2.0 dan Darurat.

"Kini kadar penggangguran meningkat dengan mendadak. Sekiranya tidak ada tindakan yang lebih agresif, lebih banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana yang bakal mengalami kerugian dan akan mengakibatkan kehilangan lebih banyak pekerjaan," kata mereka.

Justeru Ahli-ahli Parlimen pembangkang menyarankan agar kerajaan segera mempertimbangkan melaksanakan semula moratorium pinjaman bank secara automatik dan skim bantuan upah sebagaimana pada 2020 lalu.

"Kami mendesak kerajaan melaksanakan moratorium pinjaman secara automatik untuk tempoh 6 bulan seperti yang dilakukan semasa PKP 1.0. Ini akan menghilangkan keresahan dan birokrasi dengan segera.

"Industri PKS atau mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran pinjaman mereka seperti biasa. 6 bulan moratorium pinjaman secara automatik akan meningkatkan aliran tunai kepada sektor ekonomi malah merancakkan aktivitinya. Dengan cara ini individu dan PKS akan mempunyai lebihan tunai yang dapat membantu meningkatkan pendapatan semua jenis perniagaan, seterusnya menggalakkan mereka mengekalkan atau mungkin menambah lebih ramai pekerja (bukannya membuang pekerja)

"Kami juga mahu kerajaan meningkatkan kadar subsidi upah PERKESO RM600 setiap pekerja kepada jumlah yang lebih tinggi (kepada yang mempunyai pendapatan di bawah RM4,000) dan melanjutkannya untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan.

"Jumlah subsidi RM600 sebulan yang diberikan sekarang tidak memadai dalam menghadapi PKP 2.0 dan Darurat yang telah menunjukkan kesannya ke atas beberapa sektor. Subsidi upah selama tempoh 6 bulan akan menggalakkan para majikan untuk tidak membuang pekerja dan membantu mereka bertahan sehingga separuh tahun akibat penyusutan jualan dan aliran tunai," kata mereka lagi.

Menurut mereka, PKP 2.0 adalah masa yang luar biasa. Oleh itu, kerajaan harus mengambil langkah yang luar biasa juga untuk menyelamatkan sektor pekerjaan.

Peningkatan jumlah penggangguran, kata mereka, bakal merugikan negara sehingga tidak ada lagi pakej rangsangan yang mungkin dapat membantu pada masa depan.

"Kerajaan Perikatan Nasional sebenarnya telah pun tewas kepada negara jiran ASEAN dalam daya saing untuk menarik pelabur asing akibat kelemahan, ketidakcekapan dan ketidakstabilan politik.

"Kekal dengan sindrom penafian dan kedegilan untuk merubah sesuatu kepada yang lebih berkesan untuk sektor perniagaan hanyalah paku keranda terakhir untuk ekonomi kita yang parah dan berdarah," ujar mereka.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh 25 Ahli Parlimen pembangkang dari KEADILAN, DAP, Amanah, Bersatu, Muda, Pejuang dan Parti Bersatu Sarawak.

 

No comments: