Keadilan tidak akan tercapai tanpa perjuangkan hak asasi manusia - Anwar

 


Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia memahami dengan lebih mendalam terhadap konsep hak asasi manusia, salah satu konsep yang sering diperjuangkan oleh parti KEADILAN.

Presiden KEADILAN itu berkata, hak asasi manusia merupakan isu yang sering dihadapi oleh masyarakat tetapi masih ada yang salah faham terhadap konsep tersebut.

"Suasana pandemik hari ini telah memaksa kita untuk mendepani pelbagai isu yang selama hari ini sering kita kesampingkan, terutamanya persoalan hak asasi manusia. Ramai beranggapan bahawa konsep hak asasi manusia ini adalah bertentangan dengan nilai dan budaya di Malaysia.

"Sebenarnya, isu hak asasi manusia adalah isu yang amat dekat dengan kita, dan ia termasuk isu-isu yang berkait dengan masalah kesenjangan yang semakin parah, kemiskinan dan juga bagaimana harus kita tangani masalah diskriminasi di pelbagai tingkat dan sektor dalam masyarakat," katanya sempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia 2020.

Anwar berkata, hak asasi manusia berkait rapat dengan persoalan keadilan dan kesaksamaan yang merupakan ciri penting dalam membangun masyarakat yang madani dan moden.

"Konsep yang akan memungkinkan impian tersebut adalah 'karamah insaniah', seperti yang ditegaskan oleh Al Quran dalam surah al-Isra' (ayat 70): "Sesungguhnya telah aku muliakan bani Adam".

"Ini membawa maksud kemuliaan insan akan menjamin pemerintahan yang manusiawi serta memenuhi pelbagai tuntutan keadilan," katanya.

Anwar mengakui konsep ini mengambil masa yang cukup lama untuk difahami dan digarap di dunia Barat.

"Ia buat pertama kali diungkapkan oleh seorang filasuf dan pemikir era Renaissance yakni Pico della Mirandola dalam pidatonya kepada khalayak paderi: "Sudah saya baca, Bapa yang mulia, dalam karya Arab, apabila Abdullah Si Arab ditanya apakah yang dianggapnya paling dikaguminya di pentas dunia, maka beliau menjawab, tiada yang lebih dikagumi daripada manusia (nihil spectari homine admirabilius)," katanya.

Justeru, Anwar menyifatkan keadilan tidak akan tercapai tanpa mengambil kira masalah kemiskinan yang melarat, peminggiran dan kejahilan.

"Keadilan dan hak asasi manusia akan terus dinafi dan diinjak sekiranya kekayaan hasil negara hanya dinikmati oleh sekumpulan kecil orang, walhal sebilangan besar warga masih terperap dalam derita," katanya.

 


No comments: