Peruntukan 22 kementerian lulus bukti PH gagal dapat sokongan, kata Otai Reformis


Sehingga 10 Dis lepas, peruntukan 22 kementerian diluluskan di peringkat jawatankuasa walaupun pembangkang mendakwa mempunyai cukup sokongan untuk menghalangnya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) perlu berhenti mengharapkan sokongan daripada Ahli Parlimen untuk merampas kembali kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin, kata kumpulan penyokong Anwar Ibrahim.

Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail membuat gesaan itu kerana terbukti pembangkang gagal mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam menolak Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa.

Katanya, pembangkang juga tidak perlu membuang masa dalam mendapatkan sokongan akuan bersumpah (SD), termasuk daripada wakil Umno bagi menubuhkan kerajaan baru.

Sebaliknya kata beliau, ia harus kembali memberi tumpuan kepada persiapan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15.

“Sejak awal-awal lagi kegagalan PH menyediakan 15 wakil rakyat untuk sokong undi belah bagi terhadap Belanjawan 2021 di peringkat dasar memberikan presepsi ‘the game is already over’.

“Ia semakin jelas apabila peruntukan 22 kementerian lulus satu persatu di peringkat jawatankuasa tanpa banyak halangan setakat ini.

“Kita mula tertanya-tanya bilakah masanya PH akan berhenti berharap belas ehsan Ahli Parlimen PN-BN untuk ‘cross-over’ menyokong Anwar walaupun dikhabarkan beliau mempunyai cukup SD untuk membentuk kerajaan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, sekiranya presiden PKR itu mempunyai jumlah SD ditangan untuk menubuhkan kerajaan, ia tidak memberi jaminan kukuh bahawa kerajaan baru dapat dibentuk kerana pendirian wakil rakyat berubah-ubah mengikut situasi semasa.

“Percaturan politik di Perak jelas menunjukan ADUN bertukar sokongan berdasarkan situasi semasa dan sukar bagi Anwar untuk mengharap sokongan Ahli Parlimen BN-PN.

“Sewajarnya Anwar ‘bakar’ sahaja SD itu dan mula turun ke negeri untuk bertemu pimpinan setempat dan ‘move on’,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin PKR, DAP dan Amanah perlu bersatu dan bekerjasama dengan pembangkang di Sabah dan Sarawak, termasuk Warisan, untuk kembali menerajui Putrajaya.

“PH sewajarnya sudah menggerakkan jentera parti di peringkat ranting atau cabang untuk tumpu ke arah PRU 15.

“PKR dan Amanah harus berbincang untuk ambil alih kawasan yang dimenangi PPBM dan kumpulan pro Mohamed Azmin Ali dalam PRU-15.

“Tumpu untuk rampas semula 11 kawasan Parlimen yang PKR menang tetapi ‘lari’ mengikut Azmin,” katanya.

Razak berkata, PH perlu mengambil peluang untuk memperkukuh kerjasama antara parti gabungan pada saat Umno dan PPBM bertelagah.

“Pergeseran Umno-PPBM akan berlarutan hingga PRU15. Sabotaj-mensabotaj akan berlaku antara dua parti itu. PH harus mengambil peluang daripada situasi ini,” katanya.

Sept lepas Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen, untuk membentuk kerajaan.

Ia bagaimanapun gagal diterjemahkan sehingga ke hari ini, termasuk semasa pengundian Belanjawan 2021 peringkat dasar pada 26 Nov.

Walaupun mendakwa mereka akan menolak belanjawan ketika pengundian di peringkat jawatankuasa, namun sehingga 10 Dis lepas, ia tidak berhasil dengan peruntukan 22 kementerian melepasi undian di peringkat itu.




No comments: