Dakwa pemilik kolam ikan keli punca pencemaran sungai, penyokong Anwar bidas kerajaan Selangor

 

Setiausaha Otai Reformis Abdul Razak Ismail berkata, pencemaran mungkin berpunca daripada pengaliran air larut serapan bawah tanah di tapak pembuangan sampah di Bukit Tagar, dekat Hulu Selangor.

PETALING JAYA: Kumpulan penyokong Anwar Ibrahim membidas alasan kerajaan Selangor apabila mendakwa pelepasan air dari kolam ternakan ikan keli ke Sungai Selangor sebagai punca pencemaran bau di empat loji rawatan air (LRA).

Setiausaha Otai Reformis 1991, Abdul Razak Ismail berkata, kerajaan Selangor tidak sepatutnya menjatuhkan hukuman dengan menyalahkan aktiviti kolam ikan keli sebelum siasatan menyeluruh dibuat.

“Mereka yang arif dengan sungai rata-rata mengatakan adalah mustahil bagi air dalam kuantiti yang kecil (satu kolam) yang dikatakan berbau bangkai ikan dari kolam ikan keli mampu mencemarkan Sungai Selangor yang luas, besar dan panjang itu.

“Satu jawatankuasa siasatan bebas harus diwujudkan bagi mengelakkan pemilik kolam dijadikan kambing hitam oleh kerajaan negeri.

“Kita tidak mahu kerajaan negeri begitu mudah menuding jari tanpa siasatan menyeluruh setiap kali berlaku pencemaran sungai,” katanya kepada FMT.

Razak berkata, berdasarkan maklumat diterima pihaknya pencemaran mungkin berpunca daripada pengaliran air larut serapan bawah tanah di tapak pembuangan sampah di Bukit Tagar, dekat Hulu Selangor.

Exco Selangor Hee Loy Sian.

”Perkara sama pernah berlaku sekitar tahun 2006 sebelum ini,” katanya.

Pihaknya juga membidas kenyataan Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli dan pengerusi bersama Hal Ehwal Selain Islam (HESI), Hee Loy Sian yang mendakwa pemilik kolam tidak mempunyai kebenaran merancang dan beroperasi daripada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) .

“Persoalannya adakah pemilik tanah persendirian perlu lesen bina 57 buah kolam ikan di kawasan luar bandar?

“Adalah mustahil pemilik tidak mempunyai lesen untuk mengusahakan kolam ikan daripada Jabatan Perikanan ataupun Kementerian Pertanian dan Industri Makanan kerana pemilik dikatakan pembekal utama ikan keli di pasar awam di Lembah Klang,” katanya.

Selasa lalu Loy Sian berkata, pelepasan air tercemar dari kolam ternakan ikan keli ke Sungai Selangor dipercayai menjadi punca pencemaran bau seakan bangkai ikan yang menyebabkan empat LRA terpaksa dihenti tugas.

Beliau juga mendakwa aktiviti itu tidak mempunyai kebenaran merancang dan beroperasi tanpa kebenaran MDHS.

“Kita dapati satu daripada 57 kolam di kawasan terbabit melepaskan air tercemar kira-kira 100 meter dari Sungai Selangor,” katanya.


No comments: