MB PERAK MESTI KETEPIKAN ADUN DERHAKA SEBAGAI EXCO KERAJAAN NEGERI


Hakikat bahawa Pas telah menderhaka kepada Sultan Perak berikutan tindakan tiga Adunnya di negeri itu menolak untuk mengadap sebagaimana telah dititahkan akhirnya terjawab dengan sendirinya.

Jika sebelum ini Pas mempertahankan tindakan tiga Adunnya tidak mengadap itu bukan suatu penderhakaan, kini mereka sendiri bagai cacing kepanasan dibuatnya.

Ia berikutan tiga Adun Pas Perak semalam mengadakan sidang media secara mengejut untuk memohon ampun secara terbuka kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas kegagalan mereka mengadap baginda sebagaimana dititahkan pada Selasa lalu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, beliau dan dua Adun lain mengakui ‘kekhilafan’ mereka kerana tidak mengadap baginda sepertimana telah dititahkan.

“Sehubungan dengan itu, PAS Perak juga akan mengutuskan surat bagi menzahirkan permohonan keampunan kami,” kata Razman pada sidang media ringkas berkenaan perkara tersebut.

Maknanya, dengan memohon ampun kepada Sultan Perak, Pas dengan sendirinya mengakui mereka telah melakukan penderhakaan

Jika tiada penderhakaan, mengapa dan untuk apa mereka memohon keampunan?

Dalam hal ini, tanpa keraguan lagi bahawa tindakan tiga Adun Pas berkenaan yang lebih akur kepada arahan parti berbanding titah Istana adalah suatu penderhakaan yang jelas lagi nyata.

Ada keputusan atau tidak berhubung kemelut politik Perak, apabila datang titah mengadap daripada Istana, keutamaan menjunjung perintah Raja tidak boleh tidak, sepatutnya mestilah sentiasa didahulukan.

Dalam waktu yang sama, Presiden Pas, Haji Hadi Awang juga dilaporkan turut mengutus surat kepada Istana Perak untuk beliau memohon mengadap Sultan Nazrin.

Dalam suratnya, Haji Hadi menjelaskan, tujuan mengadap itu adalah untuk menyembah maklum situasi politik di Perak yang melibatkan pendirian Pas.

Adalah jelas bahawa dengan hasrat mahu mengadap ini juga memperlihatkan Hadi Awang sendiri mengakui kekhilafan tiga Adunnya tidak datang mengadap itu merupakan suatu penderhakaan.

Jika tiada penderhakaan dan bukan untuk memohon ampun, mengapa dan untuk apa juga Hadi Awang mahu mengadap Sultan Perak?

Tambahan lagi, dengan Saarani Mohamad sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, kemelut politik di Perak boleh dikira sudah berakhir dan tiada keperluan lagi untuk mana-mana pihak mengadap Sultan Nazrin.

Dalam hal ini, walaupun Menteri Besar ada menyebut soal perlantikan Adun Pas sebagai Exco Kerajaan Negeri bergantung kepada perkenan Sultan Perak, tetapi beliau seharusnya bertindak lebih proaktif daripada itu.

Sebagai bukti menjunjung kasih dan mendaulatkan institusi Raja, Saarani tidak harus sama sekali menamakan Adun Pas untuk dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak.

Walaupun lima Exco sudah dilantik dan lima lagi bakal dinamakan tidak lama lagi, nama Adun Pas tidak wajar dilantik langsung mengisi baki lima kekosongan yang ada.

Tidak kira sama ada permohonan ampun itu diterima oleh Sultan Perak atau sebaliknya, Saarani harus menunjukkan bukti awal  yang memperlihatkan ada pengajaran diberikan kepada tiga Adun Pas berkenaan.

Melengah-lengahkan perlantikan atau menunggu mereka itu diampun baru beliau mahu memenuhkan kouta perlantikan Exco hanya menunjukkan Saarani seolah-olah cuba memberi tekanan kepada Sultan Perak.

Maka, cara terbaik ialah sama ada diberi keampuan atau tidak, Adun Pas mesti dikecualikan daripada dilantik mengisi jawatan pentadbiran negeri kerana mereka yang pernah ada rekod derhaka sebenarnya tidak layak sama sekali memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri.

 (Shahbudindotcom 12/12/2020)





No comments: