Selepas PAS Perak mohon maaf, timbalan presiden kata tak timbul soal ‘derhaka’
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan tidak timbul soal derhaka kerana kemelut harus dilihat secara menyeluruh dalam membuat penilaian, beberapa jam selepas PAS Perak memohon ampun kepada Sultan Nazrin Shah atas ‘kekhilafan’ tidak menghadap selepas dititahkan.
Pemimpin PAS nasional itu berkata mereka yakin mengurus kemelut yang berlaku memerlukan ruang tersendiri dan waktu yang sangat singkat.
“Dalam situasi begini, tidak hairan kalau salah faham, silap maklumat dan tentunya golongan yang berkepentingan akan mengambil kesempatan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria bersama dua ADUN Perak memohon maaf kerana membatalkan pertemuan dengan Sultan Perak atas arahan PAS Pusat, ketika Istana Kinta sedang menguruskan hal menteri besar baharu dan pembentukan kerajaan negeri.
PAS, yang sebelum ini mengumumkan ia tidak akan menyertai pembentukan kerajaan baharu di Perak, mengarahkan Razman; ADUN Selama, Akmal Kamaruddin; dan ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya, membatalkan pertemuan itu tanpa butiran lanjut.
Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata parti itu tidak mahu terkhilaf dalam membuat keputusan, dan berkata ADUNnya akan menghadap Sultan Perak selepas mendapat titah.
“Apapun dengan kesabaran semua pihak dan jiwa besar akhirnya ia berjaya diselesaikan,” kata Tuan Ibrahim malam tadi, dan menambah kemelut di Perak tidak mengambil masa yang lama.
“Kini masa untuk melihat ke hadapan bagi meneruskan pembangunan negeri, menjaga kebajikan rakyat, dan memperkukuhkan muafakat politik.”
Petang semalam , PAS Perak mengesahkan Hadi memohon menghadap Sultan Perak, dan menambah senarai calon untuk jawatan exco sudah diserahkan.
Berhubung pelantikan exco, Tuan Ibrahim berkata soal ADUNnya dilantik atau tidak “adalah hak Tuanku” dan akan akur “apa sahaja yang baik” pada pandangan Sultan Perak.
“PAS melihat isu yang paling utama selesai hasil muafakat bersama,” katanya.