Hasnul tetap tidak tersenarai Exco Kerajaan Perak

 

Hasnul tetap tidak tersenarai Exco Kerajaan Perak


Teka teki mengenai komposisi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) Perak terjawab hari ini selepas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan, melengkapkan senarai 10 Exco.

Lima ADUN berkenaan juga merupakan Exco di bawah pentadbiran sebelum ini iaitu Datuk Abdul Yunus Jamahri (Bersatu-Kuala Kurau), Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Bersatu-Tualang Sekah), Razman Zakaria (PAS-Gunung Semanggol), Mohd Akmal Kamaruddin (PAS-Selama) dan Ahmad Saidi Mohamad Daud (BN-Changkat Jering).

Kesemua ADUN itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dalam satu istiadat ringkas yang diadakan di Istana Kinta di sini, pada 5 petang ini.

Selain Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim dan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Hisham Hashim.

Pada 10 Dis lalu, lima ADUN mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dengan empat daripadanya adalah Exco sebelum ini iaitu Datuk Zolkafly Harun (BN-Lintang); Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup); Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (BN-Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (BN-Bota). Seorang lagi, Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik) yang turut dilantik merupakan muka baharu. BERNAMA



No comments: