MUHYIDDIN SEPATUTNYA LETAK JAWATAN SEBELUM MAJLIS RAJA RAJA MEMBUAT KEPUTUSAN.MELANTIK PM YANG BARU ADALAH TERBAIK BUAT NEGARA

 

Kekalutan dalam negara sekarang ini sehingga tercetusnya idea jahat mahu mengisytiharkan darurat semata-mata untuk mengekalkan kuasa harus dilihat daripada dua sudut yang berbeza.

Sudut pertama, semua yang berlaku ini adalah rentetan perbuatan Tun Mahathir Mohamad yang bersikap khianat dan enggan akur kepada janji peralihan kuasa.

Jika sejak awal beliau bersikap jujur, ikhlas, berpegang kepada janji dan tiada secebis perasaan khianat kepada Anwar Ibrahim yang bersikap lulur dan sedia memaafkannya sebelum PRU14 dulu, apa yang berlaku hari ini pasti tidak terjadi.

Dengan menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar, bukan saja kekalutan politik tidak berlaku, malah PH akan kekal berdiri tegak sebagai kerajaan sehingga hari ini.

Tetapi, kerana ada khianat kepada janji, maka lahirlah sebuah kerajaan lain yang ditubuhkan melalui pengkhianatan sehingga Muhyiddin Yassin sendiri sanggup bersikap khianat kepada Tun Mahathir.

Sudut yang kedua, semua ini berpunca daripada sikap Muhyiddin yang enggan menerima realiti dirinya yang tidak lagi mempunyai sokongan majoriti.

Dalam negara demokrasi, tiang serinya ialah sokongan majoriti di mana pihak yang memiliki banyak undi akan dikira menang, manakala yang kurang dikira kalah.

Sejak awal lagi, Muhyiddin gagal membuktikan sokongan majoriti yang dimilikinya dan sentiasa mengelak untuk undi tidak percaya dibawa terhadapnya.

Sepatutnya, menyedari dirinya semakin dipertikaikan, Muhyiddin harus bersikap terbuka membenarkan undi tidak percaya terhadapnya agar sebarang pertikaian mengenai keabsahannya dapat ditamatkan.

Tetapi, oleh kerana undi tidak percaya tidak diberi ruang, beliau kini cuba ditolak melalui penolakan terhadap Belanjawan 2021.

Lantaran sedar beliau mungkin tidak lepas dalam pengundian itu, khususnya kerana pemberontakan menolaknya makin melebar dalam PN sendiri, maka untuk menyelamatkan diri dan takut dijatuhkan, timbullah idea jahat mahu mengisytiharkan darurat.

Cuba Muhyiddin ada kejantanan sejati dan sedia berdepan realiti, sama ada usul tidak percaya atau pengundian Belanjawan 2021, sudah tentu idea mahu melaksanakan darurat tidak berbangkit sama sekali.

Hakikatnya, yang darurat dan mabuk kuasa ialah Muhyiddin dan orang-orang sekelilingnya yang takut hilang jawatan dan takut masuk penjara atas perlakuan yang tidak pernah kabur di mata rakyat.

Rakyat sama sekali tidak darurat, namun cuba didaruratkan oleh Muhyiddin yang sedang darurat ketika ini.

Maka, untuk mengatasi kekalutan dalam negara yang mungkin bertambah panas sementara menunggu Majlis Raja-Raja bermesyuarat untuk menimbang dan mengambil keputusan yang bijaksana, punca segala masalah ini hendaklah dibuang terlebih dahulu.

Muhyiddin kini tiada pilihan lagi, beliau harus meletak jawatan segera, sebaik-baiknya sebelum Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuaratnya pada minggu depan.

Muhyiddin bukan saja tiada lagi sokongan majoriti yang telah diperlihatkan melalui cadangannya sendiri mahu mengisytiharkan darurat, malah beliau juga tidak dipercayai rakyat untuk terus mentadbir negara ini.

Kepercayaan dan keyakinan rakyat telah terhakis terhadapnya kerana Muhyiddin dianggap tidak bersikap demokratik dalam amalan demokrasi negara di mana cuba melakukan tindakan ke arah diktator demi untuk terus kekal berkuasa.

Sebelum kemarahan rakyat lebih meluap-luap, berundur lebih awal adalah sebaik-baik pilihan baginya.

Dengan Muhyiddin meletakkan jawatannya, bukan saja Majlis Raja-Raja tiada keperluan lagi membincangkan sama ada perlu kepada darurat atau sebaliknya, tetapi melaluinya juga akan memberi lebih kebebasan dan keselesaan kepada Majlis Raja-Raja terhadap pilihan terbaik iaitu melantik Perdana Menteri baru yang dipercayai memiliki sokongan majoriti. (Shahbudindotcom 24/10/2020)


No comments: