Jangan guna darurat elak bentang Belanjawan di Parlimen - Hassan Karim

 






Cadangan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengisytihar darurat dan menggantung Parlimen dalam keadaan aman merupakan langkah yang tidak bertanggungjawab serta merosakkan sistem demokrasi Malaysia.

 

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, cadangan perisytiharan darurat dengan alasan membendung pandemik Covid 19 adalah tidak masuk akal sama sekali.

 

Katanya, terdapat kemungkinan alasan lain yang disembunyikan iaitu pemimpin PN khuatir dimalukan dalam sesi pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

 

"Saya melihat cadangan untuk melaksanakan darurat bagi menangani penularan Covid-19 adalah dangkal dan tidak meyakinkan rakyat. Alasan sebenar darurat dilaksanakan ialah supaya Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin dapat mengelak membentangkan Belanjawan Negara pada 6 November 2020 dan meghadapi ahli-ahli Dewan Rakyat pada 17 November depan, sama ada akan melulus atau menolak Belanjawan 2021 tersebut.

 

"Sekiranya Belanjawan itu ditolak maka bererti Tan Sri Muhyiddin dan kerajaannya hilang majoriti kepercayaan dari Ahli-ahli Parlimen. Natijahnya Muhyiddin secara konvensyen demokrasi berparlimen perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Hassan lagi, darurat bukanlah jalan keluar mudah kepada masalah yang membabitkan Perlembagaan atau krisis di Dewan Rakyat.

 

Seharusnya, kerajaan PN meneroka cara lain yang tidak memusnahkan keyakinan pelabur dan pasaran kewangan dalam senario politik yang dihadapi mereka.

 

"PM Muhyiddin tidak wajar secara melulu mendapatkan perkenan Yang diPertuan Agong untuk Baginda mengeluarkan Proklamasi Darurat di Malaysia. Dalam keadaan genting ini perlu dirujuk apa yang disebut dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 150 (1), Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

 

"Darurat besar yang dimaksudkan itu disebut 3 perkara. Pertama keselamatan; kedua kehidupan ekonomi dan ketiga ketenteraman awam.

 

"Penularan Covid-19 tidak termasuk dalam kategori tersebut. Begitu juga, pergolakan politik kepartian bukan sejenis darurat keselamatan.

 

"Begitu juga undi tidak percaya yang menunggu Muhyiddin di Dewan Rakyat yang akan bersidang bermula 2 November depan bukan sejenis darurat keselamatan atau ketenteraman awam.

 

"Malah risiko Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan jika tidak diluluskan oleh Ahli-ahli Parlimen bukanlah satu ancaman kehidupan ekonomi yang memerlukan satu proklamsi darurat diisytiharkan," katanya.

 

Justeru, Hassan menyeru PM Muhyiddin lebih waras dan matang berfikir dalam kemelut politik semasa serta bersikap sebagai demokrat tulen yang mempertahankan sistem demokrasi berparlimen

 

"Saya berharap PM Muhyiddin yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan juga PM yang berikrar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan institusi Parlimen supaya tidak tersilap langkah membawa negara ke ambang kediktatoran dengan mematikan suara Ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat di dalam Pilihanraya Umum ke-14 lalu.

 

"Jika Muhyiddin sudah kehilangan sokongan Ahli-ahli Parlimen dan majoriti di Dewan Rakyat, beliau sepatutnya meletakkan jawatan dengan segera, bukannya mengisytiharkan darurat untuk terus berkuasa," katanya lagi.

 

Darurat meluas dispekulasikan apabila Muhyiddin bergegas mengadap Yang di-Pertuan Agong petang semalam selepas selesai mesyuarat khas kabinet.

 

Bagaimanapun, pertemuan selama dua jam di istana Pahang itu tidak membuahkan sebarang keputusan sebagaimana dijangkakan dan Muhyiddin tidak membuat pengumuman penting pada malam tadi.

 

No comments: