Peristiwa ini berlaku beberapa bulan lalu apabila Tun Mahathir meminta Muhyiddin mengharamkan UMNO. Tindakan mengharamkan UMNO adalah strategi akhir Tun Mahathir bilamana beliau mendapati tidak ramai Ahli Parlimen UMNO menyeberang dan menyertai Bersatu. Matlamat akhir Tun Mahathir ialah untuk membina Parti Bersatu sebagai pengganti UMNO.
Muhyiddin bersetuju dan turut menyokong langkah ini. Fail dan dokumen untuk membatalkan pendaftaran UMNO telah disediakan dan sudah pun berada di atas mejanya. Hal ini pernah diceritakan oleh Presiden UMNO Zahid Hamidi kepada MKT UMNO bagi menghalalkan langkahnya untuk berunding dengan Tun Mahathir.
Apabila rancangan untuk mengharamkan UMNO ini diketahui Anwar, beliau bergegas menemui Muhyiddin dan berhujah menyanggah tindakan itu.
Kata Anwar, UMNO adalah legasi perjuangan Melayu menuntut kemerdekaan yang turut disertai ibu ayah dan keluarga kita semua. Pengharaman UMNO akan menjadi satu tragedi hitam yang akan menyayatkan hati seluruh umat Melayu termasuk Raja-raja Melayu.
Kata Anwar lagi kepada Muhyiddin, jika pengharaman ini berlaku maka Tun Mahathir dan Pakatan Harapan akan dikutuk oleh orang Melayu dan kita semua akan dicatat sebagai pengkhianat bangsa.
Hujah Anwar, UMNO tidak berdosa tetapi yang berdosa ialah pemimpinnya. Sekiranya UMNO diharamkan sudah pasti proses di Mahkamah akan memakan masa dan kerajaan PH tidak mampu menumpukan seluruh perhatian kepada pembinaan semula negara yang hampir muflis. Lebih parah lagi rakyat akan percaya dengan dakyah pembangkang bahawa PH adalah kuda tunggangan DAP. Pakatan Harapan pasti akan kalah pada PRU akan datang.
Alhamdulillah akhirnya Muhyiddin akur dengan hujah Anwar dan UMNO terselamat darpada diharamkan.
Bayangkanlah dimana kedudukan Muhyiddin sekarang jika beliau mengikut nafsu amarah dan meletakkan jawatannya.
Bayangkanlah apa yang akan terjadi kepada seluruh ahli-ahli UMNO sekiranya UMNO berjaya diharamkan?
Yang pasti, tentu sekali pada hari ini tidak akan wujud Perikatan Nasional jika UMNO diharamkan dan sudah tentulah Muhyiddin tidak akan menjadi Perdana Menteri ke-8.
Maka Muhyiddin sewajarnya berterima kasih kepada Anwar kerana keikhlasan Anwar menasihati beliau. Bahkan seluruh Ahli Parlimen dan ahli Umno juga wajar berterima kasih kepada Anwar kerana sosok yang pernah difitnah dan diaibkan oleh pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO inilah yang telah bertindak menyelamatkan UMNO daripada diharamkan.
Maka, tepuk dada tanyalah hati berfikirlah dengan nurani yang tulus untuk menilai pengorbanan sebenar antara Anwar dengan Muhyiddin dan juga pemimpin politik yang lain.
Sesungguhnya Ini adalah satu episod hitam yang benar-benar telah meninggalkan parut yang mendalam dalam sejarah tanah air kita yang tercinta.
“Bijak berpenchak langkah bertukar
Bijak berakal mengawal diri
Adat berhutang kami membayar
Adat berjanji kami tepati”
Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Penerangan,
Parti Keadilan Rakyat.