KDYMM YDPA DIYAKINI BIJAK MEMBUAT KEPUTUSAN SELESAI KEMELUT POLITIK

 

Kenyataan Media

24 hb Oktober 2020


KDYMM YDPA DIYAKINI BIJAK MEMBUAT KEPUTUSAN SELESAI KEMELUT POLITIK


Kami mengambil perhatian terhadap perkembangan politik tanah air terkini.


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin kelmarin selepas mesyuarat khas Jemaah Menteri , mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah , untuk mencadangkan YDPA mengisytiharkan darurat.


Dalam keadaan yang tidak jelas , apakah alasan yang diketengahkan itu cukup kuat untuk darurat diisytiharkan, kami tetap menyakini YDPA  mempunyai kebijaksanaan untuk menolak atau menerima cadangan tersebut.


Kami sangat yakin atas kebijaksanaan YDPA untuk membuat keputusan yang mempunyai implikasi besar dari segi undang-undang dan perjalanan serta uruskelola kerajaan dan negara.


Sesungguhnya  YDPA pasti memikirkan semasak-masaknya untuk mengisytihar darurat atau menolak cadangan dalam keadaan rakyat sedang berdepan dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang sangat meruncing.


Kami percaya sebuah kerajaan yang kukuh akan memungkinkan isu Covid-19 dan pemulihan ekonomi dapat dikendalikan dengan baik.


Kami juga meyakini bahawa YDPA akan memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat bukan sahaja untuk generasi masakini malah juga untuk generasi mendatang.


Mengisytiharkan darurat bukan suatu yang mudah untuk dipertimbangkan kerana implikasinya sangat besar. 


Penggantungan Parlimen atas nama darurat belum tentu menyelesaikan kemelut politik sedia ada. Apa yang menjadi tonggak penting untuk menstabilkan keadaan ialah keyakinan dan mandat rakyat kepada kerajaan.


Kami yakin kebijaksanaan YDPA pasti mampu memberi penyelesaian yang terbaik merentas kepentingan politik kepartian.


Kami berpendirian sementara isu pandemik Covid-19 perlu diteliti dengan halusi,  namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengantung fungsi parlimen. 


Perbahasan dikalangan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat sangat penting bagi mencari jalan keluar kepada isu Covid-19 berlandaskan undang-undang sekaligus mengurus keperluan kehidupan rakyat.


Sebelum ini keputusan tidak menjalankan perbahasan parlimen untuk meluluskan pakej stimulus ekonomi menangani 


Covid-19 telah diambil. Dalam keadaan sekarang ia tidak sepatutnya diulangi. Walaupun alasan tindakan sertamerta perlu diambil, akan tetapi keputusan yang besar lebih sempurna jika perbincangan terbuka diadakan untuk mencari kesepakatan di Parlimen.


Cabaran terbesar yang perlu ditangani oleh pihak kerajaan dan semua parti politik dalam demokrasi sedia ada harus  berlandaskan lunas undang-undang dan prinsip Perlembagaan Persekutuan.


Akibat ekonomi negara terjejas oleh Covid-19 yang memberi kesan yang sangat berat kepada rakyat bawahan, darurat, jika dihalusi, mencetuskan ketidaktentuan bukan sahaja kepada pentadbiran negara malah kepada ekonomi negara. 


Walaupun mengekang wabak Covid-19 wajar diberi keutamaan oleh semua parti politik, mewajarkan darurat bakal merumitkan keadaan jika wakil rakyat tidak dapat berfungsi di Dewan Rakyat.


YDPA dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Permaisuri  telah menunjukkan ciri-ciri  merakyat yang sangat dikagumi. Kedua-duanya sangat mengambil berat kepada nasib rajyat.


Kami yakin sudah tentu dalam mempertimbangkan keputusan yang besar seperti darurat  yang memberi kesan kepada rakyat secara langsung , YDPA akan menimbangkan keputusan dengan perbincangan secara terperinci termasuk mendapat pandangan  bersama Raja-raja Melayu.


Kami percaya lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan akan pasti dijadi pertimbangan utama agar fungsi semua institusi utama negara seperti Dewan Rakyat tidak terjejas. 


Sistem Raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen adalah kerangka pemerintahan yang penting dipertahankan.


Dengan yang demikian kami menyarankan agar tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk mengeskploitasi keadaan untuk menekan YDPA.  


Kami yakin YDPA akan membuat keputusan yang bijak untuk memastikan mandat rakyat dihormati dan fungsi institusi Dewan Rakyat berjalan lancar.


Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia.



No comments: