Datuk Seri Anwar Ibrahim
menyifatkan hasrat kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melaksanakan darurat
adalah tidak demokratik dan isu peningkatan kes wabak Covid-19 dipergunakan
untuk terus berkuasa.
Malah, Presiden KEADILAN itu
bimbang bahawa langkah darurat tersebut adalah sekadar untuk menyekat proses
perbahasan di Parlimen.
"Hari ini kita sedang
menyaksikan babak sejarah yang tidak pernah berlaku sebelumnya yakni mempunyai
sebuah kerajaan yang bergelut dengan persoalan keabsahan, dan sedang
menggunakan wabak Covid-19 yang memungkin penyalahgunaan kuasa.
"Darurat diisytihar
apabila ada ancaman terhadap keselamatan negara tetapi apabila kerajaan sendiri
adalah sumber ancaman itu, keadaan darurat tidak lebih dari pemerintahan
diktator dan autoritarianisme.
"Saya menggesa Tan Sri
Muhyiddin Yassin untuk menimbang semula keputusan ini kerana ia ternyata suatu
keputusan yang pendek akal dan pentingkan diri," katanya dalam satu
kenyataan.
Anwar yang juga Ahli Parlimen
Port Dickson berpendapat langkah darurat menonjolkan kelemahan kerajaan PN
dalam menangani wabak Covid-19 dan keupayaan memulihkan ekonomi negara.
"Dengan langkah ini, maka
kerajaan PN yang tidak ada keabsahan ini telah menonjolkan kelemahan mereka
dalam menangani wabak Covid-19 dan kemelut ekonomi yang kita hadapi sekarang.
"Negara-negara di rantau
ini sedang memikirkan pelbagai cara menangani wabak dan benarkan aktiviti
ekonomi untuk bergerak, namun Malaysia sedang bergerak kebelakang.
"Kita masih belum
mengetahui apa strategi kerajaan dalam mengemudi krisis ini, tetapi apa yang
terpamer adalah pemerintah merasakan strategi ampuh untuk melawan dampak wabak
adalah dengan melemahkan demokrasi.
"Apa yang kita perlukan
dalam mendepani wabak Covid-19 adalah ketelusan, kebertanggungjawaban dan dasar
yang jelas oleh pelbagai kementerian. Pemerintah telah gagal menonjolkan
kepimpinan yang berkualiti saat wabak, malah telah mengambil langkah yang
mencurangi demokrasi untuk terus berkuasa," katanya.
Cadangan pelaksanaan darurat tersebar
di media massa sejak berakhirnya mesyuarat khas kabinet Muhyiddin di Putrajaya
tengah hari tadi.
Spekulasi bertiup kencang apabila
kenderaan rasmi PM dilihat memasuki Istana Abdulaziz di Kuantan petang tadi
dalam misi yang dianggap pemerhati politik untuk memohon perkenan Yang
di-Pertuan Agong mengisytihar darurat pemerintahan dalam waktu terdekat.
Rombongan Muhyiddin dilaporkan turut diiringi kenderaan rasmi
Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Affendi Buang.