MUHYIDDIN PEDULI ATAU TULI?

 

Bulan ini semua peminjam bank dikehendaki mula membuat bayaran pinjaman mereka berikuran tempoh moratorium telah berakhir.

Tetapi, berikutan ekonomi belum lagi pulih sepenuhnya, ramai yang hilang pekerjaan masih tidak mendapat pekerjaan, banyak perniagaan tidak beroperasi dan kes Covid-19 pula meningkat semula, kerajaan digesa menyambung lagi tempoh moratorium.

Kalau pun tidak enam bulan, sekurang-kurangnya ia dilanjutkan lagi selama tiga bulan sehingga Disember akan datang.

Melanjutkan lagi tempoh itu dilihat akan memberi kelegaan kepada rakyat menyesuaikan kehidupan menjelang ketibaan tahun baru di mana pelbagai perbelanjaan perlu diuruskan seperti untuk persekolahan anak-anak dan sebagainya.

Sehingga ini, pemimpin politik utama dalam negara seperti Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim; Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi; bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng adalah antara yang telah bersuara menggesa dan mendesak kerajaan melanjutkan tempoh moratorium itu.

Malah, ada di antaranya seperti Anwar dan Najib misalnya, mereka telah membuat gesaan itu lebih daripada sekali.

Pihak-pihak lain seperti NGO, persatuan dan suara rakyat di media sosial, turut juga melontarkan nada yang sama mengenainya.

Semuanya mengharapkan kerajaan bersikap lebih peduli terhadap rakyat dan bukan hanya menunjuk-nunjuk konon prihatin dan mengutamakan mereka ketika kempen pilihanraya saja.

Namun, meskipun sudah begitu banyak suara gesaan dan desakan dilaungkan, kerajaan dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin nampaknya masih lagi bersikap tidak peduli, “buat tak reti” dan seolah-olah “tuli” mengenainya.

Tiada apa-apa respon daripada Muhyiddin setakat ini yang memperlihatkan beliau seorang pemimpin yang benar-benar menjiwai denyut nadi rakyat.

Di mana janji Muhyiddin bahawa beliau seorang pemimpin yang mengutamakan rakyat?

Atau golf lebih penting daripada moratorium?

Jika ini berterusan di mana suara rakyat langsung tidak dipedulikan, tidak mustahil ia akan melonjakkan lagi sokongan terhadap pertukaran kerajaan melalui dokongan kukuh dan meyakinkan daripada Ahli-Ahli Parlimen yang digerakkan oleh Anwar.

Kerajaan dan Perdana Menteri baru nanti, berdasarkan keprihatinan yang ditunjukkan berkaitan isu moratorium ini, tentu saja tidak teragak-agak memberi lanjutan tempohnya demi keselesaan hidup rakyat yang rata-rata dalam kesusahan.

Kalau begitu, jangan terkejut pengundi Pagoh pun nanti akan turut berduyun-duyun menyambut baik kedatangan sebuah kerajaan baru. (Shahbudindotcom 05/10/2020)

No comments: