ADAKAH PUNCA MEREBAKNYA COVID 19 ANGKARA MUHYIDDIN?


 Ramai yang ketika ini melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes Covid-19 yang melanda negara.

Sudah tiga hari berturut-turut angka kes yang dilaporkan begitu membimbangkan dengan hari ini sebanyak 293 kes, semalam 317 dan kelmarin 287 kes.

Terutama yang diperkatakan ialah meningkatnya kes-kes itu kerana dikaitkan dengan PRN Sabah di mana beberapa ahli politik telah dilaporkan positif Covid-19 sebaik kembali daripada berkempen di negeri tersebut.

Malah, jangkaan juga menyebut angka kes diramalkan akan terus meningkat pada minggu-minggu akan datang ini.

Dalam hal ini, ramai yang menyalahkan bekas Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal kerana membubarkan Dun Sabah, seterusnya memaksa PRU terpaksa diadakan.

Ada yang berandaian, jika Dun Sabah tidak dibubarkan dan tiada PRN, sudah tentu kes Covid tidak meningkat sepertimana sekarang ini.

Berlakunya PRN Sabah sebenarnya bukan disebabkan oleh Shafie Apdal yang memohon pembubaran Dun, tetapi adalah disebabkan oleh Musa Aman yang mengacau mahu menjatuhkan kerajaan negeri.

Jika kerajaan negeri tidak diganggu, tiada sebab Shafie Apdal mahu membubarkan Dun untuk mengadakan PRN Sabah yang baru.

Musa Aman pula membuat gangguan mahu menjatuhkan kerajaan negeri hanya selepas kes mahkamahnya digugurkan setelah Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri melalui pengkhiatan terhadap PH yang akhirnya menjadikan PN sebagai kerajaan baru.

Kiranya PH masih menjadi kerajaan, tidak mungkin dan tiada sebab kes rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan Musa Aman boleh digugurkan.

Tetapi, disebabkan berlakunya pertukaran kerajaan, bertukar Perdana Menteri dan bertukar Peguam Negara, maka kes beliau telah digugurkan.

Maka, setelah kesnya digugurkan, Musa Aman pun mula membuat gangguan untuk menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Shafie Apdal.

Sebab sebenar mengapa 46 kes Musa Aman ditarik balik dan digugurkan, hanya Tuhan dan mereka yang berkaitan saja mengetahuinya.

Apa pun, mereka harus menjawabnya di hadapan Tuhan nanti.

Pokoknya, kalau kes Musa Aman tidak digugurkan, kerajaan negeri pimpinan Shafie tiada gangguan dan beliau pasti akan terus memerintah Sabah dengan aman tanpa menyebarkan Covid-19 hingga ke hari ini.

Ketika Musa Aman berusaha menjatuhkan Shafie Apdal melalui tindakan beberapa Adun melompat parti pula, dua orang kanan Muhyiddin iaitu Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Nardin Awang telah terlibat aktif dalam usaha tersebut.

Ketika Musa Aman memaklumkan beliau telah mempunyai sokongan majoriti untuk menjatuhkan Shafie, beliau ada menyebut bahawa Hamzah dan Nardin telah pun mengadakan pertemuan dengan TYT Sabah untuk memaklumkan perkembangan tersebut.

Ini bermakna, dengan penglibatan dua orang kanannya itu, usaha menjatuhkan Shafie adalah dalam pengetahuan dan restu Muhyiddin.

Kesimpulannya, perkara-perkara yang menyebabkan PRN Sabah terpaksa diadakan ialah kerana gangguan Musa Aman terhadap kerajaan negeri pimpinan Shafie Apdal.

Gangguan itu pula berlaku setelah kes Musa Aman digugurkan selepas Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan dua orang kanan Muhyiddin turut terlibat secara langsung dalam usaha menumbangkan Shafie.

Jadi, kalau mahu dikatakan merebaknya kes Covid-19 sekarang yang sebahagiannya disebabkan PRN Sabah, yang salah besarnya ialah Muhyiddin, bukan Shafie Apdal.

Cuba kalau kes Musa tidak digugurkan dan dua orang kanan Muhyiddin tidak terlibat dalam usaha menjatuhkan Shafie, pastilah PRN Sabah tidak berlaku.

Tidak berlaku PRN Sabah, tidak merebaklah juga Covid-19.

Jika kita masih tidak lupa, meningkatnya kes Covid-19 pada Mac lalu sehingga PKP terpaksa dikuatkuasakan, ia berlaku hanya tidak berapa lama selepas Langkah Sheraton yang menumbangkan PH dan menaikkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Dulu Muhyiddin, sekarang pun Muhyiddin (Shahbudindotcom 04/10/2020)



No comments: