Mahasiswa terkandas akibat keputusan
tergesa-gesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menukar sesi kuliah fizikal
kepada secara atas talian terus mendapat kecaman rakyat.
Bagi Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik
Nazmi Nik Ahmad, situasi kucar-kacir yang berulang beberapa kali sepanjang
pandemik Covid 19 itu sewajarnya memerlukan KPT menyediakan pelan luar jangka
pada masa hadapan bagi mengelakkan kerugian dan kesusahan yang ditanggung pihak
mahasiswa atau keluarga mereka.
"Sebagai tambahan kepada SOP dan
garispanduan yang sedia ada, saya menyeru pihak KPT menyediakan pelan atau
kerangka jangka panjang untuk menjamin sektor ini tetap bertahan menghadapi
cabaran Covid-19.
"Kerangka ini boleh dijadikan
asas kepada SOP pada masa hadapan, dan dijadikan panduan untuk setiap IPT
menyediakan pelan mereka sendiri sejajar dengan keperluan pedagogi setiap
bidang pengajian yang berbeza.
"Ia juga perlu dilengkapi dengan
pelan luar jangka untuk situasi yang berbeza, termasuk kemungkinan kenaikkan
kes pada masa akan datang serta mengambilkira risiko pandemik-pandemik lain
pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan.
Manakala bagi pelajar yang telah
terkandas di kampus, Nik Nazmi mencadangkan agar KPT menyediakan bantuan
kewangan untuk mereka membeli tiket pengangkutan pulang ke kediaman
masing-masing, terutama mahasiswa dalam kalangan keluarga B40 atau yang tempat
kediaman jauh berjauhan dari kampus.
"Untuk mengurangkan bebanan
keluarga berpendapatan rendah, saya mencadangkan KPT menyediakan bantuan
kewangan kepada mereka yang terkesan: sama ada dari segi pembayaran balik kos
perjalanan atau tambahan kepada Bantuan Prihatin yang sedia ada. Rebat yuran
untuk tahun 2020 dan 2021 juga patut dipertimbangkan.
"Saya juga menyeru pihak KPT
menyediakan pengangkutan yang bersesuaian seperti bas kepada pelajar yang perlu
kembali ke rumah masing-masing, dan membawa mereka semula ke universiti kelak.
Rakyat tidak patut menangggung bebanan tambahan tatkala ramai yang dalam
kesempitan," katanya.
Jurucakap Parlimen KEADILAN Bagi
Pendidikan itu juga menyeru agar KPT pada masa hadapan menyediakan kerangka
komprehensif sebagai garispanduan menangani krisis Covid 19 untuk sektor
pendidikan tinggi awam dan juga swasta.