Kerajaan mandat rakyat diharap selesai masalah kebajikan veteran tentera dan juga reformis

 


Kerajaan baharu mandat rakyat sekiranya berjaya ditubuhkan diharap akan dapat menyelesaikan masalah kebajikan golongan veteran tentera yang telah berlarutan sejak berdekad-dekad lalu.

 Aktivis NGO Pahlawan, Kapten (B) Zulkefly Othman berkata, masalah kebajikan veteran hanya boleh diselesaikan oleh seorang Perdana Menteri yang benar-benar prihatin kepada pengorbanan perwira negara itu.

 Katanya, masalah tidak boleh diatasi dengan memberi sedikit sumbangan derma Hari Pahlawan atau bantuan dari Tabung Angkatan Tentera. Sebaliknya perlukan perancangan yang khusus mengenai hala tuju masa hadapan golongan terbabit.

 "Saya selaku bekas tentara ingin bawa rintihan veteran yang cukup banyak. Masalah tanah yang dijanjikan oleh kerajaan tak tertunai.

 "Juga mereka ini ada kepakaran dalam tentera tetapi akhirnya jadi pengawal keselamatan. Sedangkan ada 21 kor dalam tentera seperti teknikal, kesihatan dan macam-macam.

 "InshaAllah dengan kerajaan baru Datuk Seri Anwar nanti saya mohon kebajikan tentera diangkat martabatnya. Kita boleh bangunkan industri pertahanan dalam negara kerana veteran ini amat berpengalaman. Ini nak baiki kenderaan 3 tan pun terpaksa beri kepada orang lain, sedangkan veteran ada.

 "Saya juga lihat Tabung Angkatan Tentera dan koperasi tentera mampu memberi bantuan kewangan kepada veteran. Tetapi kerajaan yang lepas bila kita cadangkan (pelan meningkatkan kualiti kehidupan veteran) gagal untuk laksanakan," katanya dalam forum bertajuk 'DSAI PM9, Langkah ke hadapan' di kediaman Menteri Besar Negeri Sembilan, kelmarin.

 Selain tentera, menurut Zulkefly lagi, kebajikan para reformis turut perlu dibela oleh kerajaan baharu lewat jasa gerakan itu menghadiahkan 'kemerdekaan kedua' kepada rakyat Malaysia, bebas dari penjajahan kleptokrasi.

 Beliau mencadangkan agar ditubuhkan Yayasan Reformis Malaysia bagi membela aktivis reformasi yang semakin lanjut usia.

 "Para reformis seluruh negara telah dinafikan pelbagai peluang yang ada. Jadi kalau boleh kita tubuhkan Yayasan Reformis Malaysia untuk menjaga kebajikan reformis.

 "Mengapa perlu ada yayasan? Sebab selama 22 tahun saya dapat rungutan dari kawan-kawan, yang dulu boleh berniaga, punya kepakaran dalam bidang teknikal atau sebagainya, bila sertai reformasi mereka ini dinafikan kebolehan mereka," katanya lagi.

 Untuk itu, Zulkefly mencadangkan agar kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan memberi sedikit kelonggaran kepada golongan reformis tersebut mendapatkan projek-projek kecil bagi memperbaiki kedudukan ekonomi mereka.