Sebelum ini, atas persetujuan bersama, UMNO dan Pas telah bersetuju menjemput Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).
Surat jemputan kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bertarikh 13 Ogos itu ditandatangani oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden Pas, Hadi Awang.
Berikutan itu, Bersatu melalui surat balasannya bertarikh 18 Ogos yang ditandatangani Muhyiddin telah menyatakan persetujuan untuk parti itu menyertai MN.
Begitu pun, kemasukan Bersatu ke dalam MN belum lagi diterima secara rasmi kerana ia perlu disahkan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Induk MN yang dianggotai pimpinan kanan UMNO dan Pas.
Dalam waktu yang sama, UMNO tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) yang ditaja oleh Muhyiddin, tetapi Pas mengambil keputusan untuk menyertainya.
Ini bermakna, Pas ada dalam MN dan Pas juga ada dalam PN, malah dalam Gagasan Sejahtera pun Pas ada bersama dengan Berjasa, meskipun gabungan itu ketika ini senyap sunyi tanpa sebarang khabar berita.
Pendirian UMNO ialah parti itu hanya berada dalam kerajaan PN sehingga tempoh penggal PRU14 ini berakhir saja dan untuk menghadapi PRU15, UMNO hanya mahu bersama Pas dalam MN.
Sikap dan pendirian UMNO enggan menyertai PN ialah kerana mereka tidak mahu bersama dengan Bersatu, jauh sekali untuk berkongsi kerusi dengan parti itu dalam PRU15 akan datang.
Masalahnya, dalam pada UMNO tidak mahu bersama dengan Bersatu, sebaliknya hanya mahu bersama dengan Pas, tetapi Bersatu telah pun dijemput untuk menyertai MN dengan Zahid Hamidi sendiri merupakan salah seorang penandatangan surat jemputan kepada Muhyiddin itu.
Bahkan, Muhyiddin telah pun bersetuju untuk Bersatu menyertai MN.
Cumanya, kemasukan Bersatu ke dalam MN belum lagi disahkan secara rasmi.
Berikutan PRN Sabah yang menampakkan UMNO kena buli dengan Bersatu serta tuntutan akar umbi UMNO yang mahu parti itu menyemak semula hala tujunya, sebarang keputusan sebenarnya sukar diambil oleh UMNO pada peringkat ini.
Kesukaran pertama adalah kerana UMNO masih sebahagian kerajaan PN dan kedua, Bersatu telah pun dijemput untuk menjadi sebahagian daripada MN.
Tidakkah ini pelik sepelik-pelik pendirian yang telah diambil oleh UMNO.
Mereka tidak mahu kepada Bersatu dan enggan menyertai PN, tetapi dalam waktu yang sama menjemput pula Bersatu masuk ke dalam MN.
Selagi UMNO masih berada dalam kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin dan Bersatu juga tidak ditolak daripada menyertai MN, selagi itulah UMNO sukar untuk menentukan hala tujunya secara konkrit.
Maka, jika benar UMNO serius mahu menentukan hala tujunya ke arah memenangi PRU15 akan datang dan mendengar suara akar umbi parti, dua perkata di atas harus diselesaikan terlebih dahulu.
UMNO melalui Jawatankuasa Induk MN mesti bertegas untuk menolak kemasukan Bersatu ke dalam gabungan itu.
Tiada untungnya kepada UMNO dengan adanya Bersatu di dalam MN, tetapi kemasukan itu hanya memberi keuntungan kepada Bersatu.
Di dalam MN, cukup dengan UMNO dan Pas saja, selain komponen BN lain turut berada di dalamnya dan itu pun sebenarnya sudah cukup untuk memberi sinar kemenangan dalam PRU15 nanti.
Bersatu ini harus ditinggalkan begitu saja kerana ia adalah parti pengkhianat, di dalamnya ramai pengkhianat dan tidak mustahil ia akan terus khianat untuk meneruskan hidupnya.
Soal sama ada Pas setuju atau tidak untuk menolak penyertaan Bersatu daripada menyertai MN, ia terserah kepada parti itu membuat pilihan, namun satu perkara yang Pas harus sedar ialah keberadaannya bersama PN tidak pun menguntungkan di mana untuk mendapatkan Adun Lantikan di Sabah pun ditentang oleh Star, komponen PN sendiri.
Dalam hal ini, bukankah lebih baik Pas fokus kepada MN saja.
Tentang kedudukan UMNO dalam kerajaan PN, cepat atau lambat, UMNO tiada pilihan dan mesti keluar daripadanya kerana Muhyiddin ternampak jauh lebih sayang kepada Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin, dua pelompat katak daripada PKR dan UMNO ke dalam Bersatu berbanding Zahid Hamidi dan semua Ahli Parlimen UMNO yang merupakan jumlah terbesar dalam PN ketika ini.
Makin lama masa berlalu bersama Bersatu, bukan saja MN semakin tenggelam, bahkan laluan ke Putrajaya yang dicita-citakan oleh UMNO sejak 2018 lalu dibimbangi perlahan-lahan akan menyimpang ke penjara jadinya. (Shahbudindotcom 03/10/2020)