Selepas tamatnya ‘politik baharu’ di Malaysia … apakah ada harapan?

 (artikel ini diterbitkan pada 29 sept 2020)

Photograph: Eric Thoo

Walaupun arus di sebalik politik baharu nampak seperti bebayang sendiri yang pudar, Johan Saravanamuttu teruja dengan kemunculan sebuah kumpulan idealistik.

Izinkan saya berkongsi beberapa pandangan jujur tentang apa yang dah berlaku kepada janji ‘politik baharu’, kejatuhan ‘Malaysia Baharu’ sekitar tahun 2020, dan masa depan politiknya. 

Kemuncak politik baharu berlaku pada 9 Mei 2018, apabila Pakatan Harapan menumpaskan Barisan Nasional, yang telah memerintah selama enam dekad. Dalam 21 bulan, bagaimana pun, lesap macam asap harapan Malaysia Baharu dek Langkah Sheraton pada 23 Februari 2020.

Tak perlu saya ungkit lagi turutan bedilan bertalu-talu segala peristiwa seminggu yang ditakdirkan dalam bulan Februari yang telah mengubah Malaysia. Pendeknya, kerajaan gabungan baharu, Perikatan Nasional, di bawah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, telah ditabalkan. Ia telah stabilkan diri dalam enam bulan yang singkat dan mendapatkan sebahagian besar keyakinan dan keseluruhan sokongan politik, tidak kurang kerana kecekapan dalam mengendalikan rewakan meranah virus korona. 

Dalam tinjauan Merdeka Center yang terkini, 51% daripada 3,415 responden merasakan negara berada dalam landasan yang betul, dan sejumlah luar biasa besar 93% memberikan markah penuh kepada kerajaan atas sebab pengurusan rewakan meranah. Perdana menteri menerima rating perkenan 69% dan gabungannya yang memerintah, PN, mendapat 51% lebih tanda penerimaan, jauh meninggalkan PH (25%).

Jika PH dianggap sebagai penyebar politik baharu, jadinya dapatan tinjauan telah memberi hentaman dahsyat, barangkali juga suatu pukulan maut. 

Untuk orang biasa di luar sana, cara PN mengendalikan situasi Covid-19 tampak seperti mendahului semua pertimbangan lain. 

Namun 58.8% responden masih menganggap hal ehwal ekonomi ialah masalah paling besar yang dihadapi negara.”Politik” cuma diambil perhatian oleh hanya 2.6% respoden!

Satu lagi penemuan menarik adalah 61% daripada responden bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap kes rasuah dan salah guna kuasa Najib Razak.

Quo vadis, nak ke mana politik baharu?

Kita putar kembali sebentar idea politik baharu dan timbulkan beberapa soalan terang bersuluh. Apa yang kita maksudkan dengan istilah itu dan apakah detik-detik gentingnya? Mengapa dan bagaimana janji politik baharu lenyap? Apa yang ada pada masa depan?

Dalam buku New Politics in Malaysia, disunting bersama oleh Francis Loh pada tahun 2003, kita lihat ia sebagai daya penggerak wacana di sebalik gerakan pembangkang dalam pilihan raya 1999. 

Dalam Old vs New Politics (2009) Francis Loh telah mengutarakan bahawa ‘politik lama’ bersifat politik wang dan undang-undang yang menekan sementara politik baharu menuntut “keadilan masyarakat dan penyertaan yang lebih demokratik, ketelusan dan amanah, dan pada asasnya adalah berbilang kaum”.

Dalam Power Sharing in a Divided Nation (2016) tulisan saya, politik baharu ditakrifkan sebagai “politik penyertaan secara langsung yang berpenglibatan rakyat dalam lingkungan awam dengan sasaran mengangkat nilai demokrasi dan hak asasi manusia mengatasi dan melebihi kepentingan etnik”. Gabungan kritis politik baharu mengambil tempat pada tahun 2008, apabila BN hilang majoriti dua pertiga kerusi parlimennya. Tiga pilihan raya berikutnya, ia hilang kuasa kepada politik baharu.

Di bawah kerajaan PH selama 22 bulan, mungkin ada harapan untuk perkembangan politik baharu berlandaskan kepada Malaysia Baharu. Kita telah punyai kerajaan berbilang kaum yang memacu perubahan di garis yang disebutkan di atas, sungguhpun ada salah silap langkah sepanjang jalan.

Bagaimanapun, pergelutan kepimpinan antara Mahathir dengan Anwar dan persengketaan dalaman PKR dan Bersatu menghakis laba tak seberapa yang telah dicapai. Banyak ulasan politik sepanjang dua tahun dalam laman sesawang Aliran dan di laman lain boleh mengiyakan perkara ini. 

Di akhirnya, Langkah Sheraton telah melepaskan emosi dan kuasa timbal balas tidak lagi tertahan dari disekat pada hujung Februari. Dan semenjak Mac, kita telah saksikan satu babak peristiwa-peristiwa dan perkembangan yang telah membatalkan banyak arah tuju positif politik baharu.

Lanskap politik baharu

Namun adakah kita telah kembali kepada politik lama yang lampau? Ramai penganalisa politik nampaknya percaya bahawa politik ketuanan Melayu telah kembali, seperti yang digambarkan oleh Henry Loh. Ini sebahagian besarnya adalah benar, jikalau dilihat Muafakat Nasional, yang terdiri daripada parti-parti Melayu seperti Umno dan Pas, mempunyai kumpulan terbesar dalam penyokong PN. Parti Muhyiddin, iaitu Bersatu, telah memilih untuk menyertai gabungan tersebut. 

Tetapi rupa bumi politik menuju kemerosotan dengan dicemari politikus yang menghadapi perbicaraan rasuah. Ia juga telah dipenuhi dengan katak politik dan pembangkang yang tidak berapa diyakini. Blok pemerintah sekarang ini ramainya Melayu dan hidup dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang lebih majmuk. 

Apakah bentuk ‘haiwan’ politik baharu Malaysia akan terlahir masih tinggal ketidak pastian. Pengundian di Parlimen paling terkini untuk Rang Undang-undang Perbekalan telah menyaksikan undi menyokong yang sedikit lagi tipis melayang: 111-106, dengan lima tidak hadir. Undian terhadap bajet dalam tahun ini nyaris-nyaris boleh jadi satu lagi alah untuk PN.

Parti-parti kerajaan telah menang tiga pilihan raya kecil sejak pelantikan PN pada awal Mac. Pilihan raya kecil Slim RIver pada 29 Ogos di kerusi majoriti Melayu 75% di Perak telah melihat calon Umno menang 85% undi terhadap calon yang diletakkan oleh parti baharu Mahathir iaitu Pejuang.

Tapi ini bukan semestinya petanda kukuh kekuatan muktamad PN dalam pilihan raya umum. Lanskap politik Malaysia yang boleh berubah menjadikan masa depan tidak dapat ditenung.

Sementara itu, perubahan politik telah mengocak Sabah. Harapan pembelotan daripada parti Warisan yang memerintah telah memaksa Ketua Menteri Shafie Apdal untuk membubarkan dewan undangan negeri, membuka jalan kepada pilihan raya mengejut pada 26 September 2020.

Sarawak kelak akan mengadakan pilihan raya negeri, tempohnya hingga 2021 tapi dijangka akan diadakan penghujung 2020.

Nampaknya seolah Malaysia telah berada di dalam kancah perubahan politik yang berterusan atau juga kacau-bilau sejak pilihan raya 2018.

Pilihan raya Sabah menjadi ujian sebenar untuk gabungan PN, yang kekal tak terbukti di wilayah Malaysia Timur, sementara kuasa lama Umno telah dihantui oleh pemimpinnya yang korup.

Gabungan GPS, yang menyokong PN, nampak agak stabil dan tak mungkin kalah dalam pilihan raya negeri Sarawak.

Dengan dua pilihan raya negeri yang akan berlaku, lanskap keseluruhan Malaysia boleh berubah lagi dalam bulan-bulan yang mendatang.

Jelas sekali, politik baharu yang kita kenali telah lesap – sedang daya yang membawanya ke hadapan kini lemah dan adalah bayangan pucat dari masa lalu.

Harapan segar muda

Kita lihat pergerakan baharu belia. Penganjuran Parlimen Digital – suatu inisiatif oleh kumpulan belia Undi18, Challenger Malaysia dan Liga Rakyat Demokratik – yang telah mengkagumkan ramai pemerhati politik.

Peristiwa ini menyaksikan sati perhimpunan maya berbilang etnik seramai 222 belia selama dua hari penuh dalam pelaksanaan simulasi Parlimen Malaysia. Peserta telah berhujah berbincang dan meluluskan rang undang-undang dan dasar.

Di bawah adalah beberapa fakta ringkas tentang komposisi ‘ahli-ahli parlimen’ muda ini:

  • Mereka berumur antara 15 dan 35, dengan purata mereka yang akhirnya dipilih adalah 21 tahun. 
  • 58% daripada mereka tak pernah mengundi.
  • Sejumlah 30% daripada mereka adalah wanita, dengan kepelbagaian diwakili oleh orang kelainan upaya, Orang Asli dan komuniti etnik Siam.
  • Perwakilan komuniti Orang Asal adalah seramai 4% daripada kerusi Sabah dan Sarawak.

Dari segala yang diterangkan, Parlimen Digital membuktikan ia adalah amat mengagumkan dengan Belia Malaysia mempamerkan daya usaha yang cemerlang. Mereka juga menandingi anggota dewan yang sebenar, yang mana sudah jadi tabiat buat ramai antara mereka untuk kelahi dan berkelakuan biadap seperti ditunjukkan dalam sidang Ogos di Dewan Rakyat.

Barangkali dek kejayaan Parlimen Digital, Ahli Parlimen sebenar yang paling muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, telah membawakan satu gerakan atau parti belia yang berbilang agama dan berbilang kaum (Muda). Beberapa ahli profesional muda telah pun sertai dan bersedia untuk meneruskan idea pembaharuan ekonomi – tanpa kronisme yang biasa berlaku.

Dengan diberi perkembangan dari kalangan belia Malaysia, kita patut rasa teruja bahawa masa depan lanskap politik Malaysia yang maju ke hadapan sedang ditempa.

Johan Saravanamuttu
Penyunting bersama, surat berita Aliran
4 September 2020

Diterjemahkan oleh Shazni Bhai