Sumbangan terbesar Anwar, 'Islam sebagai cara hidup'


 

Rakyat malaysia mungkin tidak dididik siapakah tokoh yang banyak menerapkan ajaran Islam ke dalam institusi-institusi negara.

 Bagi Prof Redzuan Othman, tokoh yang banyak memberi sumbangan menjadikan Islam sebagai the way of life adalah tokoh politik tersohor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 Katanya, tanpa peranan Anwar pada 1980an, ajaran Islam mungkin lebih lewat untuk diterapkan di sekolah, universiti, isntitusi perbankan dan sebagainya.

 "Dalam syarahan perdana saya pada 2015, beberapa bulan selepas Anwar dimasukkan kembali dalam penjara, saya menyebut bahawa masyarakat Melayu pada hari ini bernasib baik kerana mereka terselamat daripada ancaman yang dialami masyarakat yang lain.

 "Perkara yang saya tekankan pada waktu ini Islam telah diinstitusikan, dibudaya dan diakar umbi dalam masyarakat Melayu.

 "Bukan Islam sebagai anutan semata-mata tetapi Islam sebagai satu cara hidup. Itu perupakan sumbangan terbesar Anwar. Saya menyebut hampir setiap umat Islam Malaysia terhutang budi dengan seorang insan bernama Anwar Ibrahim.

 "Pada hari ini lihat sekeliling kita. Setiap yang ada hari ini ada kena mengena dengan beliau. Bagi wanita, kaji semula bagaimana puan-puan pakai tudung, adalah bersumber pada pemikiran yang tekad yang beliau kemukan pada peringkat awal.

 "Bagi yang terlibat dengan pendidikan, akan ada elemen-elemen yang dikaitkan dengan beliau (Anwar)," katanya sebagai moderator Muktamar Nasional Wadah Keempat Belas di Bangi, Selangor pagi tadi.

 Menurut Dr Redzuan, sisi penyertaan Anwar ke dalam parti pemerintah Umno ketika itu mungkin dianggap gelap oleh gerakan Islam berasaskan politik seperti Pas.

 Namun penyertaan itu, katanya, mempunyai hikmah apabila ajaran Islam boleh dikembangkan dalam pemerintahan, yang sebelum itu diserang hebat lewat pertembungan gerakan Islam dan sekularisme pada hujung 1970an dan awal 1980an.

 "Penyertaan beliau dalam Umno menyebabkan Islam menjadi arus perdana dalam pentadbiran. Oleh sebab itulah pelbagai institusi berjaya ditubuhkan.

 "Namun ketika Anwar dalam penjara terdapat jawatankuasa ditubuhkan untuk menafikan sumbangan Anwar kepada negara.

 "Tiada sumbangan dalam perkara yang berkaitan perbankan Islam, tiada sumbangan Universiti Islam Antarabangsa dan tiada apa-apa sumbangan kepada Islam di Malaysia

 "Tetapi (walau apa pun) kita tahu beliau telah memberi sumbangan yang besar," kata Dr Redzuan dalam ucapan aluan ke arah pidato penuh Anwar pada majlis syarahan bertajuk 'Merekayasa Agenda Dakwah Milenial' tersebut.

 Majlis itu juga menyempurnakan peluncuran buku karya Dr Razali Nawawi berjudul 'Erti Perjuangan' dan 'Antologi Puisi Islami Covid 19: Ibrah Buat Umat".

 

No comments: