(LIVE TERTUNDA ) Anwar Ibrahim: Ucapan Di Muktamar Nasional (MUKNAS) Kali Ke -14




Longgarnya tradisi ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya umat Islam menyebabkan mudah terjadi perbalahan serta adu domba antara kaum dan intra kaum.

Tokoh politik terkenal Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi syarahan Muktamar Nasional Wadah kali Keempat Belas di Bangi, Selangor berkata, tradisi ilmu dalam kalangan umat Islam terdahulu amat kuat dan menjadikan masyarakat ketika itu maju berbanding negara-negara Islam hari ini yang kekurangan jati diri serta di belenggu ideologi Barat semata-mata.

"Kembali kepada budaya ilmu, membaca.

"Tidak semestinya (kita ada) idea yang original. Saya umpamanya menjadi Presiden ABIM tetapi belum kenal (ahli matematik) al Biruni.

"Kemudian saya bermalam di rumah seorang kenalan. Dia kuliahkan al Biruni sampai pukul 12 malam, saya mengantuk. Oleh kerana untuk memendekkan kuliahnya, saya janji untuk menghabiskan al Biruni.

"Rupanya ada satu gedung ilmu dalam gerakan Islam yang kita tidak tahu. Gerakan Islam tidak pernah bicara tentang al Biruni, hanya tokoh matematik, selesai. Rupanya dia tokoh yang memahami agama Hindu. Dia sanggup ke India dan duduk di depan sami semata-mata mahu menguasai ilmu tentang agama Hindu," katanya.

Kekurangan kemajmukan ilmu itu, menurut Anwar, punca umat Islam Malaysia lemah. Menyebabkan bukan Islam tidak melihat keindahan Islam.

Katanya, umat Islam yang kurang ilmu dan kurang memahami agama lain menyukarkan berlakunya dialog antara agama serta hal-hal remeh menjadi punca salah faham keagamaan yang kronik.

"Saya kongsikan pengalaman dalam negara kita, sama ada aliran mutaasibin, sekular, sebenarnya tidak sangat mendalam hujah mereka. Terutama bicara tentang pertembungan. Kalau wanita dia esktrem pertahankan wanita. Dia jadi sosok wanita sahaja, lelaki begitu, orang muda juga.

"Walhal kalau orang bicara tentang tuntutan suara anak muda. Saya kata dalam Quran amat jelas, bukan faktor umur tetapi idealisme. Idealisme dari mana? Terpahat di hati mereka keyakinan kepada Tuhan yang menjadikan langit dan bumi. Perjuangan anak muda itu tidak lari daripada keyakinan, akhlak, sahsiah juga menentang kezaliman dan kebobrokan.

"Apa kelamahan kita. Kelemahan kita untuk mengikat pelbagai agama dengan tradisi ilmu. Supaya anak Melayu faham tentang Islam dalam masyarakat majmuk. Anak Hindu atau Kristian faham tentang pendekatan kita dalam Islam," katanya lagi.

Anwar dalam ucapan itu juga menuntut gerakan Islam di Malaysia supaya lebih berhemah dan menjadikan kemajmukan negara sebagai sumber kekuatan bersama.

Beliau juga menghargai usaha NGO Wadah, ABIM dan sebagainya dalam gerakan Islam yang mewujudkan perpaduan kaum serta kesatuan ummah di Malaysia.

 

No comments: