PRN Sabah: KEADILAN berdepan pertandingan 10 penjuru di DUN Inanam

 

Calon KEADILAN, Peto Galim berdepan cabaran getir apabila beliau mengesahkan bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam akan melibatkan pertandingan 10 penjuru.

 Malah, Peto akan bertanding buat pertama kali sebagai calon dan akan berdepan dengan saingan daripada beberapa calon yang sudah mempunyai pengaruh kuat dalam politik.

 Namun, beliau mengakui tidak tergugat dengan calon lain, sebaliknya yakin dapat menarik jumlah undi yang besar daripada rakyat.

 "Ini satu pertandingan yang sengit, tetapi saya yakin dan percaya dengan usaha serta aktiviti yang telah dilakukan dan sedang dilakukan ketika ini, sokongan daripada pengundi adalah amat memberangsangkan.

 "Kita juga akan berkempen dengan sebaik mungkin, kita akan membawa pendekatan kempen yang lebih mesra, memberi data yang lebih tepat dan kita akan menyampaikan penerangan jelas serta memberikan cadangan untuk masa depan

 

 "Walaupun saya baru, saya tetap postif. Kalau kita bekerjasama dengan gerak kerja yang betul, semua akan jadi mudah.

 "Kita akan gerakkan jentera termasuk UPKO, Warisan dan KEADILAN sendiri untuk memenangkan Warisan Plus. Jadi soal calon baru itu tidak mustahil, kita bergerak satu dalam tujuan dan kita akan rebut semula kerusi N18 ini," katanya kepada Suara Keadilan selepas selesai proses penamaan calon.

 Pada masa sama, Peto juga menganggap sokongan pengundi Inanam terhadap KEADILAN tidak terjejas meskipun penyandang kerusi, Kenny Chua bertindak mengkhianati parti.

 "Saya tidak lihat ini memberi kesan kerana tindakan itu adalah lebih kepada individu, jadi tidak ada kesan yang besar kepada penyokong Warisan Plus.

 "Terpulang kepada pengundi untuk menilai perjuangan Warisan Plus, malah apa yang berlaku sebelum ini memberi kekuatan kepada kita untuk bekerjasama dan membuktikan kami masih kuat di sini," katanya.

 Di pusat penamaan calon DUN Inanam yang bertempat di Dewan Masyarakat Menggatal, Kenny tampil bertanding sebagai calon Bebas selepas beliau gagal mendapatkan tiket untuk bertanding sebagai calon Parti Bersatu Sabah (PBS).

 PBS sebaliknya meletakkan William Majimbun sebagai calon setelah Johnny Goh Chin Lok tewas kepada Kenny pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

 Selain calon KEADILAN dan PBS, terdapat lima lagi calon parti lain iaitu Chong Kah Kiat bertanding selaku calon Parti Liberal Demokratik (LDP), Regina Lim calon Parti Cinta Sabah (PCS) Francis Goh selaku calon Parti Gagasan Rakyat Sabah, Terence Tsen Kim Fatt selaku calon Parti Kerjasama Anak Negeri dan Mohd Hardy Abdullah selaku calon USNO.

 Calon Bebas pula terdiri daripada tiga individu iaitu Kenny, Achmad Noorasyrul Noortaip dan George Ngui.

 Berdasarkan PRU-14, hanya Kenny dan Terence bertanding buat kali kedua di DUN Inanam.

Sejak 2013, KEADILAN mendapat sokongan yang cukup besar di Inanam apabila meraih 8,926 undi dengan majoriti 3,202 pada PRU-13.

 Jumlah itu meningkat pada PRU-14 apabila KEADILAN meraih 13,633 undi dengan majoriti 7,783.

 

No comments: