Tidak pasti sama ada Muhyiddin Yassin yang tersasul atau pun secara tidak sengaja apabila terlepas cakap semasa menamakan Ketua Badan Pimpinan Parti Pimpinan Bersatu Sabah, Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri mereka sekiranya memenangi PRN kali ini.
Berikutan pengumuman tersebut, maka berlaku sedikit kekecohan antara kem Barisan Nasional yang dipimpin oleh Ahmad Zahid Hamidi dengan kem Muhyiddin.
Bukannya apa, susulan laporan tersebut difahamkan pegawai akhbar Muhyiddin sibuk dan cemas menghubungi pengamal media supaya menukar tajuk berita mereka selepas ia menimbulkan rasa tidak puas hati di kem BN.
Bukan itu sahaja, Annuar Musa juga difahamkan ada menghubungi pengamal media untuk menjelaskan situasi sebenar ekoran laporan berita tersebut yang kononnya tidak tepat.
Isunya di sini bukanlah sama ada ia tepat atau tidak, jika pada awalnya sudah ada persefahaman antara BN dan PN mengenai calon Ketua Menteri, masakan kenyataan Muhyiddin yang mencolonkan Hajiji itu menerima reaksi tidak senang kurang senang daripada kalangan pimpinan BN sendiri.
Muhyiddin sebenarnya lebih dilihat cuba menguji reaksi BN dengan mengeluarkan kenyataan tersebut tetapi tidak menyangka ia tidak disenangi dan menerima kecaman.
Bahkan, sumber memberitahu, Ahmad Zahid sebenarnya sudah mempunyai persetujuan dengan Pengerusi UMNO Sabah, Bung Moktar Radin untuk menamakannya sebagai calon Ketua Menteri.
Bung selaku Pengerusi UMNO sebenarnya mempunyai autonomi untuk meletak dirinya sebagai calon Ketua Menteri, bukankah UMNO Pusat sudah memberi autonomi penuh kepada UMNO Sabah untuk membuat keputusan sendiri?
Akhirnya, seperti biasa Muhyiddin yang kononnya boleh mengawal semua parti komponen dalam PRN terpaksa mengalah dan lebih memalukan lagi akan terpaksa menarik balik keputusannya mencalonkan Hajiji.
Lebih jelas lagi, Muhyiddin sebenarnya tidak mempunyai “command” dalam mengemudi parti politik yang bertanding di Sabah malah beliau seakan-akan tidak dihormati oleh kem BN walaupun cuba menunjukkan kononnya mereka sudah bermuafakat dalam menghadapi pilihan raya ini.
Mengambilkira situasi ini, Muhyiddin dilihat bakal mengulangi langkah sama seperti yang berlaku di Kedah, Melaka dan Johor apabila sekadar memerhatikan UMNO mengambilalih tampuk pimpinan negeri.
Yang jelas, Muhyiddin akan sekali lagi terpaksa akur dan tunduk dengan BN khususnya UMNO dalam memilih siapa yang bakal menjadi calon Ketua Menteri.
Secara tidak langsung ini menunjukkan kelembikan Muhyiddin yang hanya sekadar menjadi Perdana Menteri pak hangguk semata-mata kerana kuasa sebenar dipegang oleh UMNO atau BN.
Bagi BN, tindakan mengumumkan nama calon Ketua Menteri terlalu awal oleh Muhyiddin sebenarnya akan memberikan impak moral kepada jentera mereka yang sedang bertanding berikutan banyak pertindihan kerusi melibatkan calon BN dengan PN.
Bagi pemerhati politik, sekiranya dalam isu pemilihan Ketua Menteri pun Muhyididn dihentam teruk, seolah-olah tidak ada gunanya beliau mengemudi jentera PN, malah mengumumkan pembentukan Gabungan Rakyat Sabah.
Sudahlah pembahagian kerusi pun tidak dapat diselesaikan dengan baik, bila umum calon nama Ketua Menteri pun dihentam maka tidak ada gunanya status jawatan “PERDANA MENTERI” yang dipegangnya.
Jika Muhyiddin mahu menjaga maruahnya, beliau perlu mempertahankan Hajiji sebagai calon Ketua Menteri pilihannya, bukan dengan secara sembunyi-sembunyi lagi.
Apakah perkiraan Muhyiddin selepas ini, mahukah beliau dilihat sebagai PERDANA MENTERI lembik yang boleh diperkotak-katikkan oleh UMNO dan BN?
Nak pilih calon Ketua Menteri pun dah pening dan bergaduh, macam mana (Shahbudindotcom 13/09/2020)