ENAM KEGAGALAN MUHYIDDIN DI HARI PERTAMA PRN SABAH


PRN Sabah yang hari penamaan calonnnya berlangsung semalam menyaksikan beberapa kegagalan ketara Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dan peneraju PN yanf merupakan kerajaan di pusat.
Pertama, Muhyiddin gagal untuk menunjukkan kepada umum bahawa PN adalah sebuah gabungan yang ada masa depan di negara ini.
Selain tidak berjaya menarik UMNO dan BN menyertai PN, PRN Sabah menyaksikan bertambahnya lagi kegagalan tersebut kerana PN hanya bertanding 29 daripada 73 kerusi.
Sebaliknya UMNO dan BN bertanding 41 kerusi, satu kedudukan yang lebih tinggi daripada PN.
Dalam PRU15 nanti, mampukah Muhyiddin menahan asakan UMNO dan BN yang sudah pasti lebih ganas mahukan jumlah kerusi Parlimen lebih tinggi untuk ditandingi berbanding PN?
Kedua, berlakunya pertembungan sesama sendiri antara PN, BN dan PBS di 17 kawasan Dun di Sabah menambahkan lagi keadaan yang memalukan Muhyiddin itu.
Bagaimana harapan untuk merampas negeri Sabah boleh ada cahaya kejayaan kerana 17 kawasan yang berlaku pertembungan sesama sendiri itu dengan sendirinya memberi kelebihan kepada Warisan?
Dengan 17 kawasan sudah merupakan kelebihan kepada Warisan, tidaklah sukar untuk parti itu meraih sedikit saja lagi kerusi kemenangan bagi memastikan kerajaan negeri kekal dalam genggaman.
Ketiga, kegagalan memastikan tidak berlaku pertembungan di 17 kawasan itu turut bermakna keudukan Muhyiddin tidak cukup dihormati oleh BN dan PBS, walaupun mereka adalah sebahagian daripada kerajaan di peringkat persekutuan.
Jika Muhyiddin benar-benar dihormati dan beliau sendiri sebagai pemimpin yang ada “command”, sudah tentu pertembungan sesama sendiri itu tidak berlaku.
Keempat, pengumuman berkenaan pembentukan Gabungan Rakyat Sabah yang menggabungkan PN, BN dan PBS bagi tujuan menumbangkan Warisan, sebenarnya hanya menambahkan lagi jumlah kegagalan kepimpinan Muhyiddin.
Setelah ada PN, bahkan ia sudah pun merupan kerajaan di peringkat pusat, untuk apa lagi diwujudkan GRS?
Penubuhan GRS adalah tanda nyata gagalnya Muhyiddin menjadikan PN diterima oleh parti-parti lain yang diberikannya jawatan dalam kerajaan dan seolah-olah mereka hanya menunggu masa untuk mengabaikannya sebagai Perdana Menteri dalam PRU15 akan datang.
Lagi pula, apa makna diwujudkan GRS jika pertembungan sesama sendiri pun masih gagal dielakkan?
Kelima, tindakan Muhyiddin menamakan Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri yang kemudian segera dibantah keras oleh UMNO dan BN, dengan jelas memperlihatkan langsung tidak ada kesepakatan dalam GRS, sekaligus tiada kepimpinan ditunjukkan oleh Presiden Bersatu tersebut dalam gabungan yang baru diwujudkan itu.
Bagaimana seorang Perdana Menteri, sebaik saja menamakan calon Ketua Menteri Sabah tanpa ada sebarang perundingan dengan parti-parti sehingga ia terus disanggah oleh beberapa pemimpin UMNO, termasuk Zahid Hamidi sendiri?
Adalah nyata, serangan-serangan terbuka UMNO dan BN terhadap Muhyiddin berikutan pengumuman itu juga menunjukkan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri tidak cukup dihormati dan tidak mampu bertahan lama.
Keenam dan paling buruk, sementara Muhyiddin dikecam dan dibelasah oleh UMNO berkaitan calon Ketua Menteri itu, malangnya tidak ada seorang pun pemimpin Bersatu tampil membela dan mempertahankannya.
Mana Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Armada dan lain-lain pimpinan kanan Bersatu yang telah diberikan jawatan dan kedudukan oleh Muhyiddin?
Mana Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang baru-baru ini dilantik secara istimewa sebagai Ahli MPT Bersatu?
Kenapa mereka semua hanya berdiam diri dan tidak tampil bersuara mempertahankan Muhyiddin?
Dengan semua kegagalan di atas – percayalah – Muhyiddin akan lebih gagal untuk mendepani PRU15 akan datang. (Shahbudindotcom 13/08/2020)

No comments: