Bukan PM boleh menghadap Agong – Dr Aziz Bari
Ketua Pembangkang DUN Perak, Abd Aziz Bari memberi pencerahan berguna kepada Dr Shamrahayu Ab Aziz berhubung siapa berhak menghadap Yang di-Pertuan Agong dan tidak.
Mengulas pendapat Shamrahayu yang berpendapat Anwar Ibrahim tidak layak menghadap Yang di-Pertuan Agong kerana dia (Anwar) bukan perdana menteri, Aziz berkata pendapat orang dianggap pakar Perlembagaan itu mengelirukan dan bahaya dalam konteks demokrasi dan raja berperlembagaan.
Shamrahayu dilaporkan berkata hanya Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri boleh menghadap Agong. Beliau mengulas ekoran kenyataan Anwar Ibrahim yang akan menghadap Agong bagi menyembahkan beliau mempunyai sokongan di Parlimen.
Kata Aziz, pandangan Shamrahayu itu menggambarkan kekeliruan dalam memahami peranan Yang di-Pertuan Agong khususnya sebagai “guardian” atau penjaga Perlembagaan.
“Dengan beranggapan hanya Perdana Menteri saja boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong ia berbahaya dalam konteks politik demokrasi dan Raja berperlembagaan,” ujar Aziz.
Dalam penjelasan mengandungi tujuh point Aziz yang juga ADUN Tebing Tinggi berkata, Yang di-Pertuan Agong dengan kedudukannya memerlukan maklumat dan perspektif yang betul dan tepat mengenai keadaan semasa.
Berikut penjelasan Abd Aziz sepenuhnya menerusi WhatsApp kepada saya (Sayuti Omar) sekejap tadi setelah saya meminta beliau mengulas pandangan Shamrahayu yang mengelirukan dan bersifat bias:
1. Kenyataan itu menggambarkan kekeliruan dalam memahami peranan Yang di-Pertuan Agong khususnya sebagai ‘guardian’ atau penjaga Perlembagaan.
2. Peranan sedemikian memerlukan baginda mendapat maklumat dan perspektif yang betul dan tepat mengenai keadaan semasa.
3. Kelihatannya beliau keliru dengan nasihat Perdana Menteri atau kerajaan dalam sesuatu isu mengenai pentadbiran negara. Itu memang dalam autoriti PM atau kerajaan yang memerintah.
4. Tetapi dalam konteks itu pun ia tidak bermakna baginda tidak boleh mendengar pandangan pihak lain. Jika tidak masakan ada apa yang disebut “the right to advise, to warn and to be consulted” di pihak Raja. Ini semua memerlukan Raja itu mendengar dan mendapat perspektif yang pelbagai dan bukan hanya dari PM sahaja.
5. Mengatakan hanya PM saja boleh mengadap juga berbahaya dalam konteks demokrasi bahkan Raja Berperlembagaan itu sendiri.
6. Kesan pandangan sedemikian ialah Raja akan dilihat sebagai boneka kerajaan yang ada; sedangkan idealnya adalah raja dan istana perlu berada di atas politik kepartaian; raja perlu menjadi faktor penyatu untuk semua rakyat.
7. Isu ini boleh diperdebatkan kerana beliau adalah pemegang kerusi mengenai institusi beraja dan apa yang dikatakan begitu kontroversi sekali.