Undi Warisan Plus bererti lindungi autonomi Sabah, tingkat dana pembangunan

 

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan)

Rakyat Sabah mengundi Warisan Plus dan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri bererti mengundi untuk melindungi autonomi Sabah dan peningkatan dana pembangunan daripada kerajaan Persekutuan.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah jelas merupakan pertempuran antara dua pemimpin, Warisan Plus yang dipimpin oleh Shafie dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menyokong Warisan Plus jelas merupakan undian rakyat Sabah untuk Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri, sedangkan undian untuk GRS akan membolehkan Muhyiddin memilih siapa Ketua Menteri Sabah yang seterusnya.

Rakyat Sabah tidak mempunyai pilihan selain menyokong Shafie, jika mereka ingin mengekalkan kuasa autonomi mereka untuk memilih Ketua Menteri mereka sendiri dan tidak membiarkan orang luar membuat keputusan.

Tambahan pula, menyokong Shafie juga dapat membantu meningkatkan dana pembangunan Sabah daripada kerajaan Persekutuan dengan menghantar mesej yang jelas dan tegas bahawa orang Sabah tidak akan dibuli, sebaliknya menuntut pembahagian yang adil daripada dana pembangunan yang diperlukan untuk mengeluarkan Sabah daripada kedudukan malang sebagai negeri termiskin di Malaysia.

Bahkan sebelum hari mengundi esok, Muhyiddin telah mengembalikan semula projek bernilai RM4.2 juta yang telah saya luluskan sebagai Menteri Kewangan, untuk menaik taraf 24 jambatan di Kampung Sim-Sim di Sandakan. 

Projek ini adalah antara lima projek PH di Sandakan yang telah dibatalkan pada 8 Julai oleh kerajaan PN sekarang.  Empat projek lain di Sandakan yang masih dibatalkan adalah: –

  • RM4 juta untuk memasang sistem kumbahan untuk 400 rumah di Kampung Cina Sim-Sim,
  • RM400,000 untuk menaik taraf balai raya,
  • RM1 juta untuk projek jalan raya di persimpangan Jalan St Monica; dan
  • RM1 juta untuk memperbaiki rumah orang cacat penglihatan.

Mengundi Warisan Plus dapat memberi pengajaran kepada PN untuk tidak membatalkan dengan kejam projek untuk rakyat di Sabah semata-mata kerana dendam politik.

PN harus menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan cadangan Suruhanjaya Cobbold agar Sabah diberi layanan sebagai rakan kongsi setara. 

Adakah Muhyiddin lupa bahawa tanpa Sabah tidak akan ada Malaysia? Rakyat Sabah yang mengundi Warisan Plus akan mengingatkan Muhyiddin bahawa orang Sabah tidak akan dibuli dan status istimewa Sabah sebagai rakan kongsi setara.

PH telah meningkatkan dana pembangunan untuk Sabah sebanyak RM1.1 bilion daripada RM4.1 bilion di bawah Belanjawan 2018 kepada RM5.2 bilion di bawah Belanjawan 2020.

PH telah memudahcara pelaburan berjumlah RM 18.2 bilion untuk masuk ke Sabah dalam 22 bulan, berbanding dengan BN yang hanya membawa RM9.7 bilion dalam lima tahun daripada 2013-2018.

Walaupun kemenangan Shafie akan mempengaruhi kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin belum berjanji akan melakukan yang sama atau lebih baik daripada PH.

Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah yang dipilih oleh rakyat Sabah, akan menjadi peringatan berterusan kepada Muhyiddin bahawa dia tidak membuat apa-apa sumbangan yang besar dan mesti melakukan lebih banyak lagi untuk Sabah. 



No comments: