Lanjutan moratorium: Muhyiddin harus dengar keluhan rakyat

 

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan)

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengecewakan ramai rakyat Malaysia kerana gagal melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama 6 bulan lagi ketika dia mengumumkan bantuan kewangan tambahan RM10 bilion di bawah Kita Prihatin semalam. Dia mengatakan bahawa 98% permohonan untuk pelanjutan moratorium dan bantuan bank secara bersasar telah diluluskan, dengan lebih daripada 1.4 juta peminjam, dan lebih daripada 380,000 peminjam telah mengesahkan bahawa mereka memerlukan bantuan tersebut.

Walau bagaimanapun, jumlah peminjam ini masih jauh lebih rendah daripada 8 juta peminjam individu dan korporat yang akan mendapat faedah daripada lanjutan 6 bulan moratorium pembayaran balik pinjaman bank secara automatik.

Moratorium pembayaran balik pinjaman yang akan berakhir pada 30 September 2020, telah membantu meringankan beban kepada perniagaan dan isi rumah yang terjejas pasca Covid-19, dengan menangguhkan pembayaran balik pinjaman, termasuk untuk pinjaman gadai janji (mortgage) dan sewa beli. Nilai moratorium pinjaman ini kepada 8 juta peminjam individu dan korporat adalah RM 90 bilion, suatu bantuan kewangan yang besar yang telah membantu menyelamatkan mata pencarian, perniagaan dan pekerjaan.

Bantuan bank secara bersasar dan pelanjutan moratorium secara terpilih jauh lebih kecil impaknya berbanding pelanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman bank 6 bulan secara automatik. Pemulihan ekonomi yang tidak menentu selepas penguncupan pertumbuhan KDNK Malaysia sebanyak 17.1% pada suku tahunan kedua, iaitu prestasi yang terburuk di kalangan negara-negara ASEAN, bertambah teruk dengan gelombang kedua jangkitan COVID-19 yang berlaku di banyak negara asing.

Tan Sri Muhyiddin harus mendengar keluhan lebih daripada 6.2 juta peminjam yang tercicir apabila moratorium pembayaran balik pinjaman tamat pada 30 September, terutamanya pengundi Sabah yang akan menghadapi pilihan raya negeri Sabtu ini, untuk melanjutkan moratorium tersebut selama 6 bulan lagi. 

No comments: