Bersatu untuk lawan kleptokrasi, bukan selamatkan penjenayah
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh dianggap tersalah langkah apabila keputusan mahkamah sebelum ini membuktikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disabitkan kesalahan dalam isu pecah amanah.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, langkah Bersatu memilih jalan untuk bersama Umno dan Najib dalam gabungan Perikatan Nasional adalah salah.
Katanya, Bersatu sebelum ini ditubuhkan untuk melawan kleptokrasi dan bukannya untuk menyelamatkan pemimpin yang bersekongkol dengan salahguna kuasa.
“Saya menasihatkan pimpinan Bersatu terutamanya di Johor untuk muhasabah semula pendirian mereka selepas keputusan mahkamah yang memutuskan bekas Perdana Menteri Najib Razak terbabit dalam kes pecah amanah.
“Kenang semula penubuhan parti Bersatu itu. Kita turut simpati dengan mereka yang di dalam Bersatu yang mempunyai prinsip tetapi terpaksa patuh kepada arahan parti.
“Saya alu-alukan semua rakan saya di dalam Bersatu untuk menyatakan pendirian menentang sifat negatif ini agar rakyat terus terbela.
“Bukan membela pemimpin yang terbabit dalam isu penyelewengan hak rakyat atau negara,” ujarnya.
Beliau yang merupakan Adun Parit Yaani berkata tiba masanya untuk rakyat mengukur tahap kepimpinan yang mereka sokong dan bukan pemimpin yang mengkhianati mereka.
Katanya, peluang masih terbuka untuk pimpinan Bersatu yang lain membetulkan langkah mereka serta kembali kepada asas perjuangan untuk mengembalikan suara rakyat yang menolak kerakusan sesetengah pemimpin.
“Rakyat mengharapkan suara pemimpin yang mampu menyelamatkan negara dan masa depan mereka bukan pemimpin yang salah guna kuasa seperti yang diputuskan di mahkamah.
“Peluang sentiasa terbuka untuk kita membentuk semula pakatan yang kuat bagi membawa mandat yang telah diberi oleh rakyat dalam PRU14 dan menolak kleptokrasi Najib Razak,” ujarnya lagi.