Keadaan ekonomi tenat, mana pelan ransangan jangka panjang? – Nizar
Bekas Exco Kerajaan Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaludin menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera mengemukakan pelan ransangan ekonomi jangka panjang kerana keadaan yang semakin tidak menentu berikutan pandemik Covid 19.
Katanya, ekonomi masih sukar berkembang tanpa ransangan secukupnya dari pihak kerajaan biar pun telah sebulan ekonomi dibuka sepenuhnya
“Walaupun semua kedai makan dan restoran dibuka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, namun pelanggan kurang menyebabkan banyak premis-premis tersebut mengalami kerugian. Iklim ekonomi yang suram hari ini menyebabkan ramai orang hilang kerja, ada yang kini menjadi pemandu e-hailing. Jadi pemandu e-hailing pun mereka terpaksa berebut mencari penumpang dalam pasaran yang sedang menguncup
“Keadaan nampaknya sudah tenat. Banyak perniagaan kecil tutup dan yang belum tutup pun kemungkinan besar akan tutup dalam bulan-bulan akan datang disebabkan penurunan angka jualan yang terlalu besar sehingga merugikan operasi. Apakah rancangan kerajaan seterusnya? Adakah wang 1MDB yang dikembalikan berjumlah RM19 bilion itu akan digunakan untuk manfaat rakyat?” tanya beliau.
Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Perak mengingatkan kerajaan PN agar memikirkan cara untuk menurunkan harga barang keperluan. Katanya, pada era pemerintahan Pakatan Harapan harga lebih stabil berbanding sekarang.
“Ramai rakyat biasa sedang dihimpit kos sara hidup tinggi. Banyak orang merungut kepada saya mereka menghadapi kesusahan membayar bil-bil bulanan. Pusat Khidmat parti Amanah sibuk mengedarkan barang-barang makanan sebab ramai hilang mata pencarian serta sukar menampung perbelanjaan keluarga
“Negara kita perlu buat sesuatu yang berkesan untuk merangsangkan ekonomi. Sebenarnya ramai yang tiba-tiba jadi miskin kerana wabak Covid-19 menyebabkan ekonomi negara menguncup.
“Saya perhatikan orang yang hilang pekerjaan adalah mereka yang berpangkat rendah. Oleh itu, kesusahan mereka berlipat kali ganda,” katanya kepada Suara Pakatan Daily
Beliau menggesa pemimpin kerajaan PN turun padang untuk bersembang-bual bersama rakyat sebelum merancang pelan ekonomi agar perlaksanaannya lebih realistik dan menepati keperluan sebenar hidup rakyat