BATALKAN KEAHLIAN MEREKA YANG MELOMPAT PARTI-IBRAHIM ALI


PENGASAS LOMPAT KATAK BERPESAN KEPADA KATAK KATAK
PUTRA mengusul dan mencadangkan pindaan kepada Akta Pilihan Raya bagi mencegah budaya lompat tukar parti yang menjadi-jadi di mana memudaratkan beban kewangan negara serta boleh mengancam keselamatan rakyat dan kestabilan politik.
Dulu bertukar parti tidak seburuk sekarang hingga boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan. Saya pernah bertukar parti atas sebab-sebab peribadi dan disingkir tetapi secara individu yang langsung tidak menggugat kerajaan yang dipilih rakyat. 
Saya digelar ‘katak’ dan dicemuh, kini bukan lagi ‘lompat katak’ tetapi ‘lompat beruk cari buah dari pokok ke pokok’. Pelik tapi benar.
Mereka yang pernah mengecam saya melompat parti mutakhir ini bertukar parti atau melompat lebih dua tiga parti tanpa segan silu ibarat kata dulang paku serpih. ‘Tahta Raja Katak’ kini menjadi rebutan begitu hebat sekali.
Terkini lompat parti berlaku ‘secara berjemaah’ yang meruntuhkan kerajaan dipilih rakyat melalui pilihan raya. Ia berlaku di Semenajung dan terbaru di Sabah.
Budaya ‘lompat berjemaah’ ini amat bahaya kepada sistem demokrasi kerana ia melibatkan perubahan kerajaan. Pasti majoriti rakyat tidak senang dengan perkembangan ini. Ia bukan setakat bertukar kerajaan tetapi DUN dan Dewan Rakyat boleh dibubar untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU).
Jika kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya belum pun cukup tiga tahun, terpaksa dibubar atas mainan politik lompat, cuba bayangkan kos kewangan yang terlibat bila PRN atau PRU diadakan secara tiba-tiba dan jarak PRN dan PRU dulu belum matang. Ia pembaziran dan boleh menimbulkan ketegangan antara rakyat.
Bagi mengatasi ‘budaya gila’ lompat parti yg menjadi-jadi malah secara berjemaah, PUTRA mengusul dan mencadangkan Akta Pilihan Raya dipinda dimana setiap wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya tidak boleh melompat atau berpindah parti.
Jika mana-mana wakil rakyat bertukar parti dari parti yang asalnya dipilih, mereka secara automatik lucut hak sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan dan parti berkenaan boleh menamakan wakil baru tanpa diadakan pilihan raya kecil.
Peraturan ini bagi wakil rakyat yang sudah dipilih melalui PRU dan tidak terlibat dengan ahli ahli biasa yang mahu bertukar parti. Inilah sahaja cara supaya tidak akan berlaku beli membeli wakil rakyat setelah dipilih.
Perlu ditegaskan landskap politik negara sudah berubah dan tidak ada lagi parti dominan yang akan menang majoriti selesa. Maka perbezaan kecil atau marginal akan menjuruskan kepada lobi-melobi atau beli membeli wakil rakyat.
Ia sudah menodai amalan demokrasi, membazir wang negara dan mewujudkan ketidakstabilan politik negara serta boleh mengancam pembangunan ekonomi rakyat.
PUTRA menyeru semua pihak terutama NGO-NGO supaya menyokong cadangan Pindaan Akta Pilihan Raya bagi menamatkan budaya lompat parti yang boleh meruntuhkan sesebuah kerajaan yang dipilih rakyat.
Sebelum ini ada berbagai cadangan seperti mewujudkan Anti Lompat Parti dan sebagainya, tetapi cadangan PUTRA ini bagi membatalkan keahlian mana-mana wakil rakyat secara automatik yang bertukar parti dan diganti dengan wakil parti yang menang.
Ia adalah terbaik demi membendung berlakunya rasuah politik dan diharap mendapat sokongan semua pihak bagi menjamin kelangsungan sistem demokrasi yang bermaruah.
Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali
Presiden PUTRA
1hb Ogos 2020.


No comments: