OLEH : SYED BADLI SHAH SYED OSMAN
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan
DEMOKRASI DIROGOL PENGKHIANAT
Negara mencatatkan satu lagi sejarah hitam kemelut politik yang akhirnya menyaksikan demokrasi dirogol dan dibunuh.
Buat pertama kalinya kerajaan yang menang melalui sistem undi demokrasi pilihanraya, dijatuhkan dengan pengkhianatan lompat parti membentuk blok baru bagi merampas kuasa pemerintahan.
Bukan sekadar pemerintahan kerajaan pusat, rampasan kuasa pintu belakang turut berlaku di beberapa negeri.
Pemimpin-pemimpin yang khianat ini tidak ubah seperti pelacur yang melacurkan maruahnya semata-mata untuk mendapat nikmat keuntungan.
Sifat tamak dan dahagakan kuasa begitu menebal sehingga mereka menyusun langkah demi mencapai matlamat yang akhirnya menghalalkan cara.
SEJARAH PAKATAN HARAPAN
Keputusan pilihanraya umum ke 14 mencatatkan sejarah apabila kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional yang menguasai pemerintahan selama lebih 60 tahun akhirnya tumbang dengan kuasa rakyat.
Gabungan Pakatan Harapan menyaksikan dua tokoh politik utama negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Anwar Ibrahim berganding bahu membentuk Pakatan Harapan.
Gabungan yang terdiri dari empat buah parti, KEADILAN, DAP, AMANAH, dan PPBM berjaya memenangi hati rakyat.
Gabungan ini kemudiannya disertai Parti Warisan dari Sabah sebagai rakan sekutu yang akhirnya membentuk sebuah kerajaan di peringkat persekutuan.
Gandingan ini dilihat kukuh dan kuat tetapi terdapat duri dalam daging yang merancang untuk memusnahkan keutuhannya.
ANWAR PM KE 8
Sebelum Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan, 3 janji telah diumumkan dalam Konvensyen Pakatan Harapan pada 7 Januari 2018.
Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, Wan Azizah sebagai calon Timbalan Perdana Menteri dan Anwar Ibrahim sebagai bakal perdana menteri ke lapan setelah proses pengampunan dan mengembalikan beliau ke dewan rakyat.
Umum mengetahui janji ini sangat jelas dan semua pendukung Pakatan Harapan menyedarinya.
Malah Tun Mahathir juga menyatakan dengan jelas akan komitmen untuk menunaikan janji dan Anwar Ibrahim pula akan terus memberikan sokongan selagi mana Tun Mahathir bergelar perdana menteri.
Namun golongan yang iri hati dan dengki mula tidak senang dengan janji ini. Mereka mula menjalankan muslihat licik dan kotor untuk menjahanamkan rancangan peralihan kuasa.
Pada mulanya mereka memainkan sentimen kebencian rakyat dengan membangkitkan soalan peralihan kuasa ini berkali-kali.
Sedangkan peralihan kuasa ini jelas dan tidak perlu dipertikaikan, namun sentimen media dan propaganda berjaya mengalihkan perhatian untuk memperlihatkan kononnya Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir bertelagah.
Maka pelan kerajaan pintu belakang mula disusun dengan memanfaatkan isu peralihan kuasa.
PENGKHIANATAN BERMULA
Beberapa nama ahli politik PH boleh dikaitkan secara langsung dengan pengkhianatan sehingga jatuhnya kerajaan PH.
Azmin Ali, Muhyiddin Yassin, Zuraida Kamarudin, Rashid Hasnon dan beberapa nama lagi akan dikenang sepanjang zaman sebagai pengkhianat Pakatan Harapan.
Azmin dan Zuraida bersama 9 lagi ahli parlimen KEADILAN yang lain memilih untuk keluar parti demi bersama blok baru muafakat nasional.
Mereka mengenepikan maruah dan amanah yang dipikul demi kuasa dan kedudukan.
Mereka ini tidak ubah seperti pelacur politik yang melacur demi mendapatkan sesuatu walaupun terpaksa curang terhadap amanah rakyat.
Tentunya kecurangan mereka disambut parti-parti pembangkang seperti Umno dan PAS yang memang selama ini mengintai peluang untuk kembali berkuasa.
Walaupun PAS dikenali sebagai parti yang mementingkan Islam, ternyata bila datang tawaran kuasa walaupun dengan jalan kecurangan, mereka menerimanya tanpa dalil.
Maka benarlah kata sesetangah orang mereka yang berpegangan agama juga kadangkala kalah dengan godaan kuasa dan kedudukan.
Apatah lagi parti Umno yang sememangnya sangat dahagakan kuasa. Tambahan lagi ramai para pemimpin mereka kini sedang melalui proses perbicaraan salahlaku di mahkamah.
Barangkali mereka fikir hanya dengan kembali berkuasa, mereka dapat menyelamatkan diri dari kehakiman.
Akhirnya terbentuklah gabungan Muafakat Nasional yang terdiri daripada mereka yang khianat dan curang kepada rakyat.
Mereka ini harus dikenang sebagai sikitol pengkhianat zaman moden yang meruntuhkan sebuah kerajaan demokrasi.
SIAPA YANG GILA KUASA
Episod pengkhianatan ini membuktikan siapa sebenarnya yang gila kuasa dan tamak dalam Pakatan Harapan.
Naratif dan persepsi yang dimainkan pengkhianat sangat licik sehingga ada yang terpedaya dengan mainan persepsi ciptaan mereka.
Ada yang berpendapat bahawa Tun Mahathir berhasrat untuk kekal sebagai perdana menteri sehingga hujung nyawa.
Hakikatnya Tun Mahathir berkali-kali berikrar bahawa beliau akan melepaskan jawatan PM untuk diserahkan kepada penggantinya Anwar Ibrahim seperti yang dijanjikan.
Ada pula yang mengatakan Anwar Ibrahim yang sebenarnya tamak dan gila nak jadi perdana menteri.
Tetapi mereka lupa bahawa Anwar telah melalui pelbagai derita perjuangan selama lebih 20 tahun.
Beliau juga pernah selangkah menjadi perdana menteri dan pernah memangku jawatan perdana menteri.
Menghormati janji Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim terus memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bagi kepada Tun Mahathir.
Malah dalam usaha menamatkan krisis pengkhianatan ini, Anwar Ibrahim sekali lagi mengenepikan soal kuasa.
Beliau sendiri tampil ke istana sebagai wakil PH bagi menyerahkan nama Tun Mahathir sebagai calon perdana menteri.
Catatan ini membuktikan bahawa Anwar Ibrahim tidak sekelumit pun gila untuk menjadi perdana menteri.
Yang ada pada Anwar hanyalah soal prinsip dan rakyat yang harus menjadi agenda keutamaan perjuangan.
Boleh disimpulkan bahawa Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim adalah negerawan sejati yang sayangkan negara.
Mereka yang terbukti gila kuasa adalah pengkhianat yang menjatuhkan kerajaan yang dipilih melalui mandat rakyat.
MASA UNTUK BANGKIT
Rakyat Malaysia seharusnya sedar bahawa rampasan kuasa dengan jalan menubuhkan kerajaan melalui pengkhianatan ini tidak boleh diizinkan sama sekali.
Kita perlu kembali ke ruang demokrasi dengan mengangkat pilihan rakyat sebagai keutamaan.
Mandat yang diberikan rakyat melalui pilihanraya tidak harus dikhianati dengan jalan pintu belakang.
Para pengkhianat mandat rakyat ini seharusnya berasa malu dengan perbuatan mereka yang telah merogol demokrasi.
Malah mereka juga seharusnya berasa malu untuk mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Dipertuan Agong bagi mempersembahkan hasrat untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang.
Tentunya rakyat akan tetap menjunjung tinggi sebarang titah dan perintah dari Kebawah Duli Yang Dipertuan Agong.
Yakinlah bahawa keputusan yang telah dititahkan ini ada hikmahnya dan terimalah dengan berlapang dada.
Maka rakyat harus berganding bahu dan bersatu padu menolak para pengkhianat kerajaan pintu belakang samada melalui undi tidak percaya di parlimen mahupun jalan pilihanraya.
Tiada tempat untuk pengkhianat dalam institusi masyarakat.
Sekian.