*Kamu nak jadi PM, kami hilang tiga MB*



"Beliau akan dilihat sebagai alat kepada Umno untuk kembali berkuasa sahaja sekarang," kata penganalisis politik.

“Kerana kamu hendak jadi Perdana Menteri, kami di tiga negeri ni terpaksa berkorban.”

Itulah serangan yang dihadapi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang dari ahli-ahli PPBM khasnya di Johor, Kedah dan juga Perak.

Ini berikutan PPBM atau lebih dikenali sebagai Bersatu itu kehilangan tiga menteri besar dan diserahkan kepada Umno di ketiga-tiga negeri itu.

Mesej yang tular dalam media sosial kini adalah:

“Di Johor, Bersatu masuk PN (Pakatan Nasional), MB Bersatu kena tendang, Umno pulajadi MB.

“Di Perak, Bersatu masuk PN, MB Bersatu kena tendang, Umno juga akan jadi MB.

“Di Melaka, Bersatu mausk PN, Umno juga jadi MB.

“Muhyidin jual Bersatu kepada Umno. Pas pula jdi perkakas nak naikkan kleptokrat.

“Siapa untung, siapa rugi.”

Bagi penganalisis politik, Dr Mazlan Ali, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tidak akan stabil dengan kedudukan yang ada terutama selepas apa yang berlaku di ketiga-tiga negeri itu.

“Beliau akan dilihat sebagai alat kepada Umno untuk kembali berkuasa sahaja sekarang,” kata Dr Mazlan mengulas kejayaan Umno merampas sekurang-kurangnya tiga kerusi MB dari Bersatu di tiga negeri

Bagi beliau, apa yang boleh dilakukan oleh Muhyiddin sekarang adalah menukar Speaker Dewan Rakyat untuk memastikan kehendaknya dipenuhi.

“Namun kalau test pertama beliau untuk menukar speaker ini gagal, kedudukannya juga dalam bahaya. Ini akan buktikan juga dia tidak ada jumlah yang cukup,” katanya.

Pilihan yang ada juga kepada Muhyiddin sekarang adalah membubarkan Parlimen.

“Namun ini sudar juga untuk Muhyidin dan Bersatu. Bersatu terpaksa berebut kerusi dengan Umno dan Pas yang mahu bertanding di kawasan yang sama iaitu kawasan majoriti Melayu,” katanya.

Sumber :
https://malaysiadateline.com/kamu-nak-jadi-pm-kami-hilang-tiga-mb/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook