Pengenalan semula PPSMI mengejar kepantasan internet – Chan Ming Kai
Pengenalan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dihapuskan pada tahun 2012 walaupun ditentang oleh tokoh-tokoh bahasa dan budaya Melayu namun mempunyai relevansi untuk generasi masa hadapan.
Ahli Parlimen Alor Setar Chan Ming Kai berkata, pengenalan semula PPSMI itu mungkin disebabkan sumber maklumat hari ini sangat tertumpu kepada bahasa Inggeris. Menurutnya, pelbagai penulisan ilmu pengetahuan lebih banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa lain, terutama di dunia maya.
“Banyak maklumat di dunia terutamanya maklumat sains, perubatan dan pelbagai jenis kajian dalam sektor pertanian serta teknologi adalah dalam Bahasa Inggeris.
“Kalau kita tidak tahu Bahasa Inggeris, kita akan ketinggalan zaman sebab bukan mudah untuk menterjemah istilah-istilah itu kepada Bahasa Melayu.
“Bahasa Inggeris adalah penting untuk rakyat kita mengejar pengetahuan, tanpa pengetahuan kita tidak akan mampu bersaing. Harus diingat bahawa Bahasa Melayu akan selalu diutamakan di Malaysia tetapi Bahasa Inggeris juga perlu digunakan dengan luas supaya rakyat kita akan mampu menghadapi cabaran di pentas antarabangsa,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Chan menekankan maklumat-maklumat terbaharu dalam laman sesawang (World Wide Web) semakin menggunakan Bahasa Inggeris yang dianggap lebih mudah dicapai sebahagian besar pengguna.
“Oleh itu, kalau sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris, saya yakin murid-murid dan pelajar kita akan mampu maju ke depan apabila mereka dapat membaca dan memahami maklumat yang boleh diperolehi dari media laman sesawang.
“Sekarang pun, melalui ‘Google Search’ di telefon pintar bermacam-macam jenis maklumat dalam Bahasa Inggeris yang akan meningkatkan tahap pengetahuan kita boleh diperolehi di mana-mana dan bila-bila sahaja.
“Ini bererti kalau sains dan matematik diajar dalam Bahasa Inggeris di sekolah, ia satu langkah untuk memajukan negara kita untuk cabaran alaf baru,” tambah Chan.