Kita jumpa di mahkamah, kata Kit Siang pada Apandi


Rakyat Malaysia akhirnya akan mendapat peluang untuk mendengar sendiri jawapan daripada bekas Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali tentang mengapa beliau ‘tidak aktif’ bertindak terhadap skandal 1MDB meskipun selepas Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat menfailkan saman pelucutan hak berhubung kes itu.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata demikian sebagai respons terhadap saman yang difailkan Apandi terhadapnya.

“Saya akan cabar saman Apandi.

“Tetapi ia sesuatu yang amat melegakan rakyat Malaysia apabila mereka kini akan berpeluang untuk mendapat jawapan mengapa Apandi tidak aktif sama sekali sebagai peguam negara selepas Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat memfailkan saman pelucutan hak kleptokratik terbesar (AS$1.7 bilion daripada AS$4.5 bilion aset berkaitan 1MDB) berhubung skandal 1MDB,” kata pemimpin veteran DAP itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Kit Siang turut membangkitkan beberapa peristiwa sejak minggu lalu yang menurutnya membangkitkan persoalan tentang ketiadaan tindakan daripada pihak Apandi selaku peguam negara semasa skandal 1MDB meledak. 

“Semua tiga peristiwa sejak lima hari lalu membangkitkan persoalan yang sama, mengapa Apandi tidak bertindak terhadap skandal 1MDB semasa beliau masih peguam negara. 

Beliau antara lain memetik laporan Bloomberg bahawa pengasas bersama Red Granite Pictures, Joey McFarland memulangkan beberapa hadiah yang diterima daripada anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Aziz yang didakwa diperolehi dengan menggunakan dana 1MDB yang dicuri.

Untuk rekod, Riza Aziz turut mengasaskan Red Granite Pictures bersama McFarland. 

Tambahnya lagi, Yayasan Rahah juga, cuba mencari penyelesaian dengan kerajaan Malaysia selepas ia disenarai sebagai satu daripada 41 badan yang mendapat dana dari 1MDB.

Kit Siang juga memetik keputusan DoJ untuk menyiasat Deutsche Bank mengenai pembabitan bank berpangkalan di Jerman itu dalam skandal 1MDB.

No comments: