Reformasi total: Kerajaan perlukan sedikit masa – Dr Afif
Kerajaan Pakatan Harapan harus diberikan masa untuk mereformasikan pentadbiran negara selepas berjaya menumbangkan BN pada PRU14.
Exco Kerajaan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata, apa yang berlaku pada pilihan raya lalu adalah manifestasi kekecewaan rakyat kepada kemusnahan yang dilakukan oleh kerajaan dahulu.
“Jelas kemusnahan yang dilakukan tidak dapat dipulihkan sekelip mata dalam masa setahun ini.
“Kerajaan Pakatan Harapan perlukan masa untuk mereformasikan pentadbiran negara dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan sesuai dengan prinsip Pakatan Harapan yang mendaulatkan undang-undang,” katanya.
Bekas Timbalan Ketua AMK itu berkata, Kerajaan Pakatan Harapan perlu berusaha dengan lebih giat lagi dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dengan kebijakan yang peduli rakyat.
“Setahun berlalu sudah pasti pelbagai pandangan dan pendapat dinyatakan baik bagi pihak rakyat ataupun pemimpin-pemimpin politik.
“Rakyat yang merupakan faktor terbesar tumbangnya BN sebagai parti pemerintah selama 60 tahun sudah tentu meletakkan harapan yang tinggi kepada Kerajaan Pakatan Harapan untuk membawa pembaharuan kepada negara,” katanya.