MUHYIDDIN DIGANTUNG, NAJIB ATAU ZAHID YANG UNTUNG?

Kemungkinan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin digantung daripada jawatannya dalam mesyuarat MT petang ini semakin sukar dielakkan.

Selain Nazri Aziz yang berdegar-degar mahu membawa usul penggantungan itu, beberapa pemimpin yang lain juga nampaknya tidak keberatan untuk memberi sokongan kepada cadangan itu.

Untungkah Najib Razak jika Muhyiddin digantung dan tidak lagi berada dalam barisan kepimpinan UMNO?

Selain isu berkaitan 1MDB, derma RM2,600 juta dan dana RM42 juta yang masih belum selesai, tidak dinafikan penggantungan Muhyiddin mungkin menyebabkan Najib lebih diserang, dikecam dan dibenci rakyat.

Dari segi UMNO, kalau pun tidak berpecah dua, penggantungan pemimpin nombor dua itu sedikit sebanyak akan menjadikan parti tambah bergolak dan menyukarkan lagi penyatuan bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Dalam keadaan itu, Najib tentu akan terus cemas dan terumbang-ambing untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang berpihak kepadanya.

Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal tanpa ragu-ragu melihat tindakan menggantung Muhyiddin hanya untuk kepentingan pemimpin tertentu sahaja.

Dalam hal ini, seperti Shafie dapat merasakan penggantungan Muhyiddin bukan semata-mata untuk menyelamatkan Najib, meskipun luarannya seolah-olah begitu.

Untuk kepentingan siapakah penggantungan Muhyiddin itu jika bukan untuk mengukuhkan Najib?
Lihat...belum pun sah Muhyiddin digantung, siapa yang bakal untung sudah pun mula ditunjukkan secara terang-terangan.

Untung kepada Najib tidak pernah diperkatakan, tetapi rezeki kepada Zahid Hamidi awal-awal lagi sudah mula dikompangkan ke seluruh kampung.

Bagaimana jika dengan penggantungan Muhyiddin, kedudukan Najib terus lemah, goyang dan semakin sukar untuk menggapai kemenangan, tidak mustahilkah gerombolan yang sama yang menolak Muhyiddin ini akan melakukannya kepada Najib pula? (SH 26/02/2016).
 
 
Shahnudin Hussein

No comments: