MKN 2015: Kuasa Agong diketepikan, menuju negara polis
ULASAN: Rang Undang Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN)2015 merupakan satu akta yang belakangkan hak asasi manusia dan memberi kuasa mutlak kepada seorang individu iaitu Perdana Menteri sebagai Pengerusi MKN. RUU MKN 2015 jelas bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan di mana:
1). Kuasa Yang Di Pertuan Agung diketepikan,
2). Hak Negeri di bawah Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan dicabuli dan
3). Hak individu untuk kesamarataan di sisi undang-undang dinafikan.
2). Hak Negeri di bawah Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan dicabuli dan
3). Hak individu untuk kesamarataan di sisi undang-undang dinafikan.
Kuasa Mutlak kepada Perdana Menteri
Komposisi MKN terdiri daripada 8 Orang iaitu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Pertahanan, Menteri Kommunikasi/Multimedia, Ketua Setiausaha Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara. Tempat dan Masa untuk Mesyuarat MKN hanya boleh ditentukan oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi MKN. Kuorum Mesyuarat MKN adalah 5 dan ini bermakna 4 ahli-ahli Kabinet (yang kebetulan lantikan Perdana Menteri) dalam MKN, dengan kehadiran Perdana Menteri cukup untuk membuat segala keputusan MKN.
Kuasa Yang Di Pertuan Agong diketepikan
Majlis juga diberi kuasa untuk memberi nasihat mengenai perisytiharan kawasan keselamatan dan seterusnya menjalani langkah-langkah yang kebetulan langkah-langkah darurat dengan menggantung hak asasi rakyat yang diperuntukan di bawah perlembagaan.
Langkah-langkah itu termasuk (a) untuk mengawal dan menyelaras Entiti Kerajaan dalam operasi yang berkenaan dengan keselamatan negara; dan (b) untuk mengeluarkan arahan kepada mana-mana Entiti Kerajaan dalam perkara yang berkenaan dengan keselamatan negara.
Entiti Kerajaan termasuklah (a) mana-mana kementerian, jabatan, pejabat, agensi, pihak berkuasa, suruhanjaya, jawatankuasa, lembaga atau majlis bagi Kerajaan Persekutuan, atau bagi mana-mana Kerajaan Negeri, yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis atau selainnya; (b) mana-mana pihak berkuasa tempatan; dan (c) Pasukan Keselamatan (a) Polis Diraja Malaysia, Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia dan Polis Bantuan (b) angkatan tentera; (c) angkatan pelawat (d) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Kuasa Keatas Pasukan Keselamatan khususnya Angkatan Tentera bertentang dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 41 dimana jelas menyatakan DYMM Yang Di Pertuan Agung adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Kuasa untuk mengarah Angkatan Tentera tidak sepatutnya terletak pada Perdana Menteri sebagai Pengerusis MKN.
Di bawah Rang Undang-undang ini, kuasa yang diberikan kepada MKN untuk istiharkan kawasan keselamatan adalah seperti kuasa pengistiharkan DARURAT. Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan hanya DYMM Yang Di Pertuan Agung yang mempunyai kuasa untuk istiharkan “DARURAT”. Jelas Kuasa Yang Di Pertuan Agung diketepikan.
Hak Negeri di bawah Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan dicabuli
Jadual Ke-9 yang mengandungi senarai Perlembagaan Persekutuan menjamin pengkongsian kuasa di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Kuasa-kuasa Kerajaan Negeri terhadap Perbandanan Kerajaan Tempatan, terhadap hak harta tanah dan khususnya Sabah/Sarawak terhadap Perlabuhan dan Pangkalan telah diberi kepada MKN, tanpa perundingan dan persetujuan Kerajaan-Kerajaan Negeri. Ini tertara apabila kuasa diberi kepada MKN untuk mengarahkan ENTITI Kerajaan termasuk kerajaan NEGERI. Jelas hak negeri keatas Senarai Negeri Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan telah dicabuli.
Hak individu untuk kesamarataan di sisi undang-undang dinafikan
Hak individu untuk kesamarataan di sisi undang-undang dinafikan
Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan memberi Parlimen untuk meluluskan undang-undang tertentu dan mengecualikan keperluan perlembagaan di bawah Perkara 5 (kebebasan diri) , Perkara 9 (Kebebasan Bergerak), Perkara 10 (Kebebasan Bercakap, Berhimpun dan berpersatuan) dan Perkara 13 (Hak terhadap harta). Tetapi Perkara 149 perlembagaan Persekutuan tidak beri peruntukan untuk ketepikan Perkara 8 (1) yang menjamin KESAMARATAAN di bawah sisi Undang-undang. Perkara 8 (1) menyatakan : “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang”.
Fasa 38 Rang Undang-undang MKN 2015 memberi perlindungan terhadap guaman dan prosiding undang-undang. Fasa 38 menyatakan: “Tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau apa-apa prosiding lain boleh diambil atau dibawa, dimulakan atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah terhadap Majlis, mana-mana jawatankuasa, mana-mana anggota Majlis atau jawatankuasa, Pengarah Operasi, atau mana-mana anggota Pasukan Keselamatan atau kakitangan Entiti Kerajaan yang lain berkenaan dengan apa-apa perbuatan, kecuaian atau keingkaran yang dilakukan atau ditinggalkan olehnya dengan suci hati, atas sifat yang sedemikian”.
Fasa 35 juga memberi kuasa untuk Majistret atau coroner untuk menolak inkues terhadap kematian yang berlaku di kawasan keselamatan, khususnya Pasukan Keselamatan yang bertugas di kawasan tersebut. Jelas Pasukan Keselamatan yang terkorban tidak dilindungi sepenuhnya.
Jelas Rang Undang-undang MKN 2015 tidak memenuhi syarat dan jaminan Perlembagaan Persekutuan berkenaan kesamarataan di sisi undang-undang.
Jelas Rang Undang-undang MKN 2015 tidak memenuhi syarat dan jaminan Perlembagaan Persekutuan berkenaan kesamarataan di sisi undang-undang.
Atas kepentingan rakyat dan kepentingan demokrasi serta pemisahan kuasa yang membolehkan “check and Balance” Rang Undang-undang MKN 2015 harus ditolak.
Dr Lee Boon Chye
Ahli Parlimen Gopeng