UNDI TAK PERCAYA DI PARLIMEN, INI KALI BAGI JADILAH....

 

 


Penyelesaian terbaik kemelut politik negara ketika ini tidak lain ialah melakukan undi tidak percaya di Parlimen bagi menyingkirkan Najib Razak sebagai Perdana Menteri. Hakikatnya Najib tidak mungkin disingkirkan melalui UMNO dalam acuan yang dibentuknya sekarang, bahkan belum tentu juga beliau mampu diketepikan dalam pilihanraya.

Semua pihak tidak boleh  bertahan lebih lama lagi berketuakan Najib memimpin negara ini kerana trend yang ditunjukkan dalam mempertahankan kuasanya kebelakangan ini memperlihatkan hampir tiada jaminan kepada sesiapa yang dilihat memberi ancaman kepadanya.

Jika Putrajaya boleh membuang Peguam Negara, melengahkan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC, membubarkan pasukan petugas khas dan melakukan gangguan terhadap tugas SPRM, maka dengan kuasa yang ada, kemenangan pembangkang dalam pilihanraya juga tidak mustahil boleh ditahan daripada menjadi kenyataan.

Biar pun pembangkang boleh terus berharap untuk memenangi pilihanraya akan datang andainya Najib terus kekal sebagai Perdana Menteri, ia  boleh bertukar menjadi sekadar mimpi ngeri kepada mereka kerana kuasa yang terlalu berpusat memberi kelebihan kepada si pemegang takhta.

Untuk jangka singkat ini, pakatan pembangkang yang mempunyai 88 kerusi Parlimen seharusnya tidak mengambil masa terlalu lama untuk mempertimbangkan idea yang dilontarkan secara terbuka oleh Tun Mahathir Mohamad semalam yang mahukan mereka segera mengusulkan undi tidak percaya terhadap Najib di Parlimen tetapi terus mengekalkan kuasa BN sebagai kerajaan.

Ini bermakna melalui usul yang hanya memerlukan sokongan 24 Ahli Parlimen BN saja lagi, tetapi  BN tetap dikekalkan sebagai kerajaan dan Perdana Menteri baru menggantikan Najib juga daripada BN, menggamit sokongan Ahli-Ahli Parlimen lain untuk menyokong usul tersebut yang semata-mata untuk menukar Perdana Menteri nyata lebih mudah berbanding jika melalui usul yang sama menyebabkan BN tersungkur kuasanya.

Setelah pemecatan Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan beberapa menteri lain baru-baru ini, usaha mendapatkan sokongan 24 Ahli Parlimen ini tidaklah mustahil sebenarnya jika betul cara runding dan tawar-menawarnya.

Itu belum diambil kira lagi kedudukan Tengku Razaleigh Hamzah yang  masih sebagai Ahli Parlimen dan pengaruh Tun Mahathir serta Tun Daim yang mungkin lebih memudahkan lagi usaha ke arah itu.

Dengan Tun Mahathir sendiri menggesa pihak pembangkang mengemukakan usul tersebut, secara tidak langsung bermakna bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu sudah sedia menjadi sebahagian yang akan memastikan kejayaannya.

Jika usul ini berjaya dan Najib dapat disingkirkan, ia kemudian akan membentuk sebuah kerajaan campuran atau kerajaan peralihan yang melibatkan semua parti. Parti-parti yang menguasai kerajaan negeri pula boleh kekal dengan status quo sedia ada, begitu juga Sabah serta Sarawak yang boleh dipertimbangkan lebih kuasa autonominya.

Kerajaan campuran atau peralihan ini boleh jadi merupakan penyelesaian jangka pendek sehingga pilihanraya akan datang dengan matlamat semata-mata untuk menyelamatkan negara daripada pelbagai kerosakan dan caca marba yang didatangkan Najib, malah jika semua parti selesa dengannya, ia juga boleh diteruskan melalui formula yang sama selepas  pilihanraya nanti.

Andainya kerajaan campuran itu tidak mahu diteruskan selepas pilihanraya akan datang, masing-masing boleh bersaing secara sihat dan terbuka sama ada melalui sistem dua parti iaitu BN dan PR atau pun melalui kekuatan parti sendiri.

Tetapi dengan memberi laluan kepada penyingkiran Najib, ia bukan saja membuatkan semua parti disanjung rakyat kerana sedia berkorban untuk bertoleransi demi menyelamatkan negara, yang jauh lebih penting ia juga memberi peluang yang sama rata, baik kepada BN mahupun PR untuk memenangi pilihanraya.

Ini kerana berbanding jika Najib terus menjadi Perdana Menteri, walaupun harapan memenangi pilihanraya juga nampak terbuka, tetapi taktik di saat-saat akhir mungkin menyebabkan kemenangan itu tidak menjadi realiti akhirnya.

Lagi pula dengan derma sebanyak RM2,600 yang pastinya masih banyak berbakinya untuk digunakan dalam pilihanraya ke 14 nanti, cabaran dan tentangan pembangkang untuk mengaut jumlah  majoriti sekurang-kurangnya 112 kerusi bagi membentuk kerajaan tidaklah mudah sebenarnya.

Daripada menunggu kemenangan dalam pilihanraya belum pasti lagi, lebih baik mereka merebut peluang yang sedang terbuka sekarang. Mendapatkan tambahan 24 kerusi Parlimen untuk menjadikan usul tidak percaya itu menjadi kenyataan bukan saja tidak mustahil berikutan situasi politik UMNO yang kacau bilau sekarang, bahkan ia juga lebih mudah kerana dalam BN sendiri ramai yang bimbang nasib masing-masing masih bercahaya atau sebaliknya selepas pilihanraya nanti.

Tetapi, dengan memastikan usul ini berjaya, semua pihak boleh bergembira dengannya. Negara dapat diselamatkan, rakyat mendapat harapan baru dan semua parti berkongsi rasa kek yang sama.

Sebahagian menteri yang ada pula, terutama yang ada intergriti, jujur, amanah dan tidak rasuah, tentu saja boleh dikekalkan dalam kerajaan baru itu nanti.

Tiada yang berbezanya melalui kejayaan usul tidak percaya itu, kecuali Najib yang membawa sengsara dapat dibersarakan lebih awal daripada yang sepatutnya.

Kepada semua parti yang terlibat dan Ahli-Ahli Parlimen yang sayangkan negara ini, janganlah dilengahkan lagi dan bawalah khabar gembira untuk rakyat yang sudah lama menderita.

Sama seperti yang pernah berlaku di Perak, ini kali bagi jadilah...(SH 21/08/2015)