Serangan bertubi-tubi oleh UMNO terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam isu Mat Indera kini dibalas dengan semakin banyak pendedahan yang berlandaskan fakta. Pensejarahan kemerdekaan dipertikai semula, apabila lebih 400 orang hadirin forum semalam memberi tepukan untuk mengiktiraf perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) ketika menuntut kemerdekaan Tanah Malaya.
Bukan itu sahaja, isu Perjanjian Damai Haadyai antara kerajaan persekutuan Malaysia dengan PKM, dan kerajaan Thailand dibangkitkan semula, dengan menuding jari kepada kerajaan Malaysia kerana tidak membenarkan Chin Peng untuk kembali ke tanahairnya. Kenyataan dan logik pemimpin UMNO dan Utusan Malaysia dicabar, malah aktivis sosial Hishamuddin Rais menyeru agar anak muda membebaskan diri dari ketakutan yang direka-reka oleh United Malays National Organisation terhadap "komunis"!
Demikianlah suasananya dalam forum anjuran Free Public Forum (FPF) berjudul "Mat Indera: Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan?", di bangunan Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Dengan membariskan Mohamad Sabu, Abdul Aziz Bari dan Hishamuddin Rais sebagai panelis, sambil dipengerusikan Shake Omar Ali selaku pengarah projek, dewan forum itu penuh sesak dengan hadirin yang kebanyakannya anak muda Melayu.
Malah, pejuang veteran Ishak Surin, yang bersahabat dengan beberapa orang pimpinan sayap kiri, termasuk Shamsiah Fakeh, merasakan bahawa suasana hari ini, khususnya ketika perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011, umpama suasana pada zaman tahun 1947, di mana rakyat daripada semua kaum bersepakat untuk menumbangkan penjajah. Bagaimanapun, Abdul Aziz Bari yang berucap atas kapasiti fellow kanan IDEAS, mengingatkan agar jangan dialihkan perhatian dari isu "dua juta orang pendatang asing yang diputihkan", yang dikhuatiri mempengaruhi keputusan pilihan raya umum yang akan datang - sementara pertikaian "Mat Indera" berlangsung...
Menjaga kepentingan British
Isu "Mat Indera" bermula dengan satu ceramah oleh Mohamad Sabu pada 21 Ogos 2011 ketika beliau balik ke kampung di Pulau Pinang. Seperti biasa, beliau berucap dalam nada berjenaka, menjelaskan mengapa Hari Kemerdekaan tidak disambut dengan kibaran jalur gemilang meskipun diseru oleh Menteri dalam kerajaan. Dari 100 biji kereta di lebuh raya, hanya satu yang meletakkan bendera, itupun lori membawa pasir yang mahu mengelakkan diri daripada disaman kerana muatan lebihan, katanya yang menggelakkan satu dewan.
Oleh sebab UMNO hanya menonjolkan pemimpinnya sebagai pejuang kemerdekaan, maka seluruh rakyat tidak terpanggil untuk merayakan hari kemerdekaan itu. Sebagai ahli politik, Mat Sabu (gambar kanan) menerima Tunku Abdul Rahman sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan, meskipun diperlekehkan sesetengah orang sebagai "berunding-runding sehaja", namun menyarankan agar tokoh-tokoh yang lain seperti Dr.Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Mat Kilau, Tok Janggut dan sebagainya turut ditonjolkan sebagai pejuang kemerdekaan.
Berdepan dengan serangan berturut-turut "12 hari 12 malam" oleh UMNO dan media kawalan UMNO, Mat Sabu mengangkat buku "Pengukir Nama Johor", yang prakatanya ditulis Menteri Besar Johor Andul Ghani Othman untuk mempertahankan kenyataan dirinya berhubung kisah perjuangan Mat Indera. Beliau menegaskan bahawa adalah fakta yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak, bahawa dalam isu serangan Bukit Kepong, mata-mata bekerja di rumah pasung di bawah kerajaan Bristish!
Malah, beliau sempat terjumpa sebuah buku berjudul "Pemburu Bintang Tiga", tulisan bekas polis Syed Othman Syed Omar, yang mengakui bahawa tugas mata-mata zaman British adalah menjaga estet dan lombong British pada ketika itu, selain mengintip dan mencari orang yang melawan British.
"Aku lawan British, kau lawan aku!"
Hishamuddin Rais, aktivis sosial mengorak langkah lebih ke depan, untuk "membongkarkan hegemoni pembohongan UMNO". "Masa sudah tiba untuk menerima bahawa perjuangan kemerdekaan juga perjuangan bersenjata," katanya, dibalas dengan tepukan di bawah pentas.
"Tak percaya, pergi tengok! Kubur Mat Salleh, bersepah-sepah, dia mati kenapa ni? Penyakit aedes?" Beliau menekankan bahawa sejarah memperlihatkan bagaimana UMNO menentang orang yang menentang British. Beliau mempersoalkan, "Aku lawan British, kau lawan aku! Siapanya pengkhianat di sini?"
Beliau berkata, UMNO dan Utusan Malaysia bergila-gila dalam isu Mat Indera ini kerana "kiblatnya Bukit Kepong telah pecah". "Hegemoni pembohongannya telah pecah. Pecah pertama ialah serangan Bukit Kepong ini berlaku pada 23 Februari 1950. 1950! Hey, baba, (tahun) 1950 negara ini di bawah British lagilah!"
"Oleh itu, petang ini, Ketua Penerangan UMNO bercakap, sebenarnya askar tu askar kerajaan Johor. Johor dah merdeka lebih awal?" Soalannya disambut dengan sorakan yang berbaur dengan ketawa terbahak-bahak.
"Manusia lahir dan mati sebagai komunis"
Tidak cukup sekadar itu, Hishamuddin Rais yang mendakwa dirinya tidak tahan dengan "kerja United Malays National Organisation untuk memperbodohkan orang Melayu", cuba meleraikan kebimbangan sesetengah hadirin yang masih keliru antara perjuangan "komunis" dengan "nasionalis".
"Manusia di dalam dunia ini, dilahirkan semuanya komunis. Dan kemudian dia juga mati sebagai komunis. Kerana komunis itu dia tidak percaya kepada private property (harta peribadi). Apabila kamu lahir kamu tidak memiliki private property, apabila kamu mati kamu juga tidak memiliki private property. That's the end of you. So what is the big deal?"
Malah, beliau menyenaraikan tokoh-tokoh seniman yang juga berlatar-belakangkan komunis, misalnya John Lennon, Picaso dan sebagainya, malah Bill Gates sebagai pereka software komputer juga seorang atheist (tidak bertuhan). "Mengapa saudara tidak melonjak-lonjak? Oh... Bill Gates ni atheist, melonjak-lonjaklah! Ni tak boleh usik lah, dia tak percaya Tuhan!"
Menyusul apa yang dikatakan Hishamuddin Rais, Abdul Aziz Bari (gambar kanan) selaku pakar perlembagaan mengingatkan bahawa salah seorang anggota Suruhanjaya Reid yang menyediakan draf perlembagaan, iaitu profesor Sir Ivor Jennings dari Universiti Cambridge, yang memberi pandangannya kepada perkara 153 mengenai kedudukan keistimewaan Melayu itu adalah seorang yang tidak pedulikan Tuhan, dan perkara 153 itu kini menjadi sesuatu yang dibangga-banggakan pula oleh sesetengah orang.
Abdul Aziz Bari mendedahkan lebih fakta, bahawa ramai pemimpin UMNO seperti Abdullah Ahmad (bekas ahli parlimen Kok Lanas), Abdullah Majid dan Siddiq Ghouse (bekas setiausaha Mahathir Mohamad) yang pernah ditangkap kerana keterlibatan dalam komunis, yang belum pasti sama ada difitnah mahupun ada kebenarannya. Jadi, beliau melihat lebih ramai pimpinan yang ditangkap kerana komunis di sebelah UMNO, berbanding di sebelah "sini".
Kemerdekaan: Bebaskan dari memperhambakan diri kepada manusia
Perbincangan akhirnya menyentuh erti kemerdekaan sebenarnya, tanpa mengambil kira label yang dipahat atas ideologi. Untuk Mohamad Sabu yang memetik ayat dalam bahasa Arab, kemerdekaan bermakna "membebaskan manusia daripada memperhamba diri sesama manusia kepada memperhambakan diri kepada Tuhan."
Beliau sempat menyindir, "Kalau ikut istilah United Malays National Organisation, tokoh pengkhianat dunia, Nabi Muhammad s.a.w. Kerana Nabi, beliau hijrah ke luar negara, dia kumpul orang luar, dia serang negeri dia sendiri, iaitu Mekah. Betulkah tidak?"
"Dia serang negerinya sendiri, waktu itu Mekah diperintah oleh anak tempatan, anak watan. Tapi mengapa Nabi menyerang dan mengepung Mekah?"
Beliau menjelaskan bahawa Nabi menyerang Mekah untuk membebaskan manusia, kerana tiada ruang demokrasi di Mekah ketika itu. Beliau mengeluh bagaimana amalan hidup pemimpin Islam kini lebih mirip kepada "firaun", dengan harta puluhan bilion yang berlegar pada dirinya, sebagaimana yang berlaku di Libya. Lebih dahsyat, rasuah, penipuan dihalalkan dengan konsep perkauman sempit, "zalim pun tak apa, (jika dilakukan) anak tempatan!"- yang dikatakannya merosakkan Malaysia.
Meskipun bukan untuk bermegah, namun beliau mengambil contoh bagaimana cara hidup Nik Aziz Nik Mat yang memerintah Kelantan selama 20 tahun, membesarkan hospital dan sekolah, dan bukannya rumah dirinya - meraih penghormatan sedikit berbeza dari orang ramai, bukan sahaja kepada Menteri Besar itu secara individu, tetapi kepada Islam. Beliau sempat menyindir pemimpin UMNO yang menyeru agar rakyat berjimat cermat dalam televisyen, "tengah cakap dia menunjukkan cincinnya bernilai 24 juta!"