Kad Prabayar : SAMM Desak Putrajaya Batal Caj Enam Peratus



SHAH ALAM 9 SEPT : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)membantah keras tindakan syarikat telekomunikasi (Telco) mengenakan caj perkhidmatan enam peratus bagi pembelian tambah nilai perkhidmatan prabayar dan pek permulaan kad SIM mulai 15 September ini.

Pengarah Seketeriat SAMM, Zulkifli Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, keputusan mengenakan caj itu tidak munasabah dan mahu pentadbiran Najib membatalkan pendekatan tersebut.

“SAMM amat memandang serius dalam isu caj yang akan dikenakan ini, menunjukkan kerajaan tidak peka terhadap pengguna prabayar yang begitu ramai penggunanya.

“Kerajaan juga harus sedar, para pengguna prabayar ini bukanlah mereka daripada golongan yang mampu,” katanya.

Menurut Zulkifli, kebanyakan pengguna prabayar terdiri daripada golongan pekerja kilang, buruh kasar, pelajar, golongan sederhana serta mereka yang berpendapatan rendah.

“Mewajibkan caj enam peratus ini menunjukkan kerajaan hanya menjaga golongan korporat serta syarikat telekomunikasi yang sudah pastinya bebanan itu diletakkan kepada pengguna walaupun syarikat-syarikat ini menunjukkan keuntungan setiap tahun.

“Mengenakan caj enam peratus ini juga menunjukkan kerajaan tunduk kepada syarikat gergasi telekomunikasi seperti mana kerajaan tidak melakukan apa-apa tindakan kepada Astro yang menaikkan caj kepada pengguna tanpa melalui proses untuk mendapatkan kebenaran kerajaan seperti dakwaan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia,” katanya lagi.

Malah Zulkifli turut mendakwa, kerajaan seolah-olah dilihat tunduk kepada kehendak syarikat-syarikat gergasi ini dengan tujuan mereka dapat melipat gandakan keuntungan dengan tidak memikirkan masalah yang akan dihadapi oleh para pengguna.

Bahkan katanya, kerajaan cuba memperbodohkan rakyat dengan menaikkan cukai-cukai perkhidmatan tanpa disedari oleh rakyat seperti penangguhan yang diuar-uarkan oleh kerajaan seketika dulu untuk mengenakan GST kepada rakyat.

Justeru, SAMM menyeru rakyat Malaysia agar membuka mata terhadap bentuk-bentuk kezaliman serta bebanan kepada rakyat terutamanya golongan anak muda yang sedang membina kerjaya masa depan, dengan kenaikan harga barangan serta caj perkhidmatan yang dihadapi kini.

Tambahnya, jika kerajaan peka terhadap masalah yang dibebani rakyat sekarang ini, SAMM mendesak supaya dihapuskan caj enam peratus terhadap pengguna khidmat prabayar seperti yang diumumkan.

“SAMM amat yakin jika kerajaan masih meneruskan dasar untuk membebankan rakyat ini, SAMM meminta rakyat agar menolak kerajaan pusat yang sedia ada kepada kerajaan baru yang lebih mesra rakyat dalam aspek kebajikan khususnya dalam perihal cukai,” katanya. 

Semalam, Syarikat telekomunikasi dalam kenyataan bersama berkata, caj enam peratus ke atas pembelian tambah nilai dan pek permulaan kad SIM mulai 15 September itu dibuat berdasarkan Akta Cukai Perkhidmatan 1975 sama seperti yang dikenakan ke atas pembelian makanan dan minuman di hotel atau restoran.