Tidak Perlu Kaji Semula Sejarah, Hanya Beri Kebebasan Pada Pakar



KUALA LUMPUR 8 SEPT : Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari menyatakan bahawa sejarawan dan ilmuan perlu diberi kebebasan dalam menganalisis sejarah dan diberi peluang mengemukakan pendapat masing-masing.

Menurut beliau, cubaan untuk mengetengahkan sesuatu fakta tanpa mengambil kira peranan dan faktor lain akan mengakibatkan beberapa perkara 'disembunyikan' seterusnya menyebabkan berlaku salah faham dalam sejarah kemerdekaan sesebuah negara itu sendiri.
“(Sejarah) tidak perlu (ditulis semula), apa yang kita janjikan dengan pentadbiran baru, kebebasan kepada setiap pakar sejarah mengemukakan pandangan dan hujah masing-masing terjamin.

" Pada saya dari segi undang-undang, keluarga dan rakan kata Mat Indera nasionalis. Sampai sekarang saya tak dengar hujah jitu dari pihak lagi satu,” kata beliau pada forum Mat Indera: ‘Pengkhianat atau pejuang’ yang dianjurkan oleh Free Public Forum di Kuala Lumpur malam tadi.

Aziz mengulas mengenai dikotomi yang disebabkan perselisihan pendapat mengenai peranan pejuang berhaluan kiri dalam menentang penjajahan British yang seolah dipinggirkan selepas kuasa kolonial itu mengisytiharkan darurat dan mengharamkan pelbagai parti politik di Tanah Melayu pada 1948.

Pesuruhjaya Tinggi British ketika itu, Sir Henry Gurney baru kembali dari menjamin kedudukan pendatang Israel di Palestin, memberi alasan mengekang pengaruh komunis dan mengharamkan antara lain Parti dokongan rakyat seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan pelbagai lagi.

Ia kemudiannya menyebabkan tokoh pejuang Melayu lain seperti Dr Burhanuddin Helmy, Ahmad Boestamam dan lain-lain kecuali Umno didokong oleh golongan bangsawan feudal.

Mengikut fakta sejarah, PKMM menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris dan Burhanuddin membawa PKMM ke arah mewujudkan Melayu Raya iaitu satu gagasan “kesatuan politik” Malaya-Indonesia yang merupakan salah satu perjuangan utamanya.

Sementara itu Hishamuddin Rais pula berkata, pentadbiran Umno enggan mengisahkan nama pejuang kemerdekaan lain kerana bimbang ‘rahsia’ mereka terbongkar.

Hishamuddin menyatakan betapa episod Mat Sabu ini telahpun memecahkan hegemoni Umno dalam sejarah terutamanya mengenai peristiwa Bukit Kepong dan sejarah merah dalam menentang penjajahan kolonial.

"Bukit Kepong ini ialah kiblat perjuangan Umno. Setiap tahun bulan Ogos saya perhatikan mereka tunjukkan bahawa perjuangan ni perjuangan mereka. Yang berjuang mengangkat senjata ialah PKM. Umno serang orang yang yang serang British.

"Kerana itu mereka serang Mat Sabu dan sesiapa saja yang berani.Bertubi-tubi sebab hegemoninya sudah pecah..kiblat sudah runtuh kerana orang tidak yakin lagi dengan pembohongan demi pembohongan,"katanya lagi.

Hishamuddin yang menjadi aktivis mahasiswa dan sosial menyatakan peranan PKM, PKMM dan golongan kiri adalah kesinambungan dari perjuangan nasionalis menentang kolonialisme negara ini dari kurun ke-19 lagi dan perintis kepada kemerdekaan yang dirundingkan Umno.

"Kita mesti juga terima hakikat bahawa perundingan Umno dengan British berlaku kerana ada penentangan senjata oleh PKM. Ini sejarah, ini hakikat, jangan kita dibodohkan,"tambah beliau lagi.