Menurut beliau usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengingatkan pihak-pihak tertentu yang cuba mengubah perlembagaan negara supaya tidak bersikap seperti 'tikus membaiki labu' sebenarnya cuba menimbulkan ketakutan di kalangan orang Melayu supaya tidak menyokong PAS dan Pakatan Rakyat.
"Sejak mutakhir isu Melayu dan kedaulatan Raja-Raja dibangkitkan sebagai usaha untuk menarik sokongan orang Melayu kepada Umno, kononnya Melayu dan Raja Berperlembagaan hanya selamat di bawah Umno, setelah isu pembangunan sudah lapok, kerana dunia semakin maju," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Idris berkata satu ketika dahulu kononnya ada perlembagaaan baru seperti yang ditimbulkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria tetapi sehingga hari ini perkara itu gagal dibuktikan.
“PAS mencabar mana-mana pihak yang ada bukti jika ada mana pihak yang hendak menggugat perkara yang telah dipersetujui bersama seperti kedudukan agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Hak Istimewa Raja-Raja Melayu silalah bawa ke pengadilan.
Isu derhaka
"Isu derhaka kepada Raja-Raja Melayu dibangkitkan dengan hebat ketika pilihanraya kecil Bukit Gantang, kononnya Datuk Seri Nizar Jamaludin derhaka kepada Sultan Perak. Mereka eksploit perkatan yang diucapkan oleh Nizar "Patik Mohon Sembah Derhaka", pada hal ini adalah istilah yang diajar oleh protokol istana ketika berbahasa dengan Raja apabila kita tidak sependapat dalam satu pandangan," kata Idris.
Menurut beliau, dalam sejarah politik Malaysia - “yang biadab dengan Raja-Raja Melayu ialah pemimpin Umno.” Malahan, dakwa Idris, Umno juga cuba mengambil alih kuasa mengistihar darurat daripada Yang Di-Pertuan Agong.
Katanya, rakyat negara ini juga tidak lupa bagaimana Umno “membelasah Raja-Raja Melayu pada tahun 1983 kerana menolak cadangan supaya kuasa Yang Di-Pertuan Agong mengenai pengistiharan darurat dikurangkan.
"Begitu juga penyokong Umno pula mengatakan Sultan Terengganu binatang. Kenapa polis tidak tangkap mereka yang berdemonstrasi dan menghina sultan Terengganu kerana tidak melantik Datuk Seri Idris Jusuh sebagai Menteri Besar Terengganu?” soalnya.
Idris berkata sebenarnya, banyak lagi yang boleh dibongkarkan bagi membuktikan siapa yang sebenarnya menghina Raja-raja Melayu.