
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi tetamu podcast (audio siar) Sembang OhhYeahh! yang disiarkan pada 16 September 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 16 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan, Lembaga Tabung Haji (TH) meminta kerajaan menangguhkan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membabitkan institusi itu walaupun ia siap pada pada Ogos 2022.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, permintaan itu dibuat pengurusan TH kerana bimbang pendedahan laporan berkenaan akan menyebabkan para pendeposit institusi orang Islam itu mengeluarkan wang mereka secara besar-besaran sehingga dikhuatiri menjejaskan operasi.
Beliau berkata, perkara itu kemudiannya dibawa ke Jemaah Menteri sebelum keputusan dibuat untuk menangguhkan pendedahan laporan RCI tersebut.

“Tabung Haji minta tolong jangan hebahkan sekarang. Kalau kita heboh sekarang, masalah tak ada penyelesaian, orang akan lari, Tabung Haji akan lumpuh. Itu dicadangkan oleh board (Lembaga Pengarah).
“Saya minta Tan Sri (Abdul) Rashid Hussain (Pengerusi TH) datang ke Kabinet dan minta beritahu sendiri kepada ahli Jemaah Menteri. Jadi keputusan nak hebahkan laporan RCI bukan keputusan saya, tetapi Jemaah Menteri,” katanya dalam siaran rakaman sesi podcast (audio siar), di sini, hari ini.
Katanya, selepas mendapat persetujuan ahli Jemaah Menteri, beliau bertanyakan bila laporan berkenaan perlu didedahkan sebelum mereka bersetuju supaya ia dibuat segera dengan syarat ia boleh dibahaskan di Parlimen.

“Saya cadangkan, tapi dalam Jemaah Menteri saya tanya satu-satu. Saya tanya Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri, macam mana?
“Setuju…setuju dan saya tanyakan bila, (mereka jawab) segera. Tapi dengan syarat ia boleh dibahas di Parlimen,” katanya.
Bagaimanapun katanya, apabila laporan RCI itu dibentangkan di Parlimen pada 11 Ogos lalu, Ahli Parlimen Pas bertindak keluar dari Dewan Rakyat dan enggan mendengar perbahasan kononnya Anwar tidak hadir pada sesi perbahasan akibat menjalani pembedahan kecil di hospital pada 10 dan 11 Ogos lalu.
No comments:
Post a Comment