KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN
PENJELASAN BERHUBUNG ISU PEMUTUAN PADI DI KILANG BERAS BERNAS (KBB) BUKIT KENAK, TERENGGANU
PUTRAJAYA, 15 SEPTEMBER 2026 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil maklum berhubung hantaran video yang tular di platform media sosial baru-baru ini berkaitan ketidakpuasan hati seorang pesawah mengenai kadar pemutuan padi sebanyak 46.2% di Kilang Beras BERNAS (KBB) Bukit Kenak, Terengganu. Susulan daripada itu, Seksyen Kawalselia Padi dan Beras (KPB), KPKM telah melaksanakan semakan terperinci ke atas rekod transaksi serta prosedur pengujian kualiti padi berkenaan pada 8 September 2026 bagi memastikan ketelusan dan kepatuhan piawaian di kilang tersebut.
Hasil semakan mendapati bahawa proses pemeriksaan dan penentuan kualiti padi tersebut telah dijalankan mengikut Malaysian Standard MS 84:2017 sepertimana yang telah ditetapkan oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras melalui Perintah Tetap Ketua Pengarah Bilangan 3/2017 mengenai pemakaian Standard Operating Procedure Pemutuan Padi. Berdasarkan analisis makmal fizikal, faktor utama yang menyumbang kepada kadar pemutuan tersebut adalah jumlah kandungan biji padi muda/hijau yang tinggi iaitu mencecah 23.8% (setelah ditolak pelepasan 3.0% yang dibenarkan), selain faktor kadar wap basah (10.6%) dan hampa (11.8%). Gambar sampel analisa seperti di LAMPIRAN A.
Untuk makluman, aktiviti tuaian padi di negeri Terengganu bagi Musim 2/2026 kini masih di peringkat awal. Padi yang dituai pada peringkat awal musim, terutamanya dari kawasan luar pengairan jelapang padi seperti di Kampung Jelapang, Setiu, lazimnya terdedah kepada isu kematangan biji padi yang tidak sekata semasa proses tuaian.
KPKM ingin menegaskan bahawa amalan pemutuan di semua kilang belian sentiasa mengutamakan komunikasi dua hala yang telus bersama para pesawah atau wakil pesawah. Bagi transaksi ini, kadar pemutuan telah dimaklumkan secara jelas dan wakil pesawah telah mengesahkan persetujuan penilaian tersebut menerusi tandatangan pada Sijil Mutu Padi (SMP) sebelum pengesahan belian dilakukan.
KPKM kekal komited untuk memelihara kebajikan pesawah serta memastikan kecekapan industri padi dan beras negara sentiasa berada di tahap terbaik berlandaskan garis panduan serta piawaian yang ditetapkan. Dalam masa yang sama juga, pasukan pemantau Kawalselia Padi dan Beras telah diarahkan untuk menyelaras operasi pemantauan di negeri yang akan menghadapi musim penuaian padi.
Dikeluarkan oleh:
KEMENTERIAN PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN


No comments:
Post a Comment