
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) petang tadi bagi menghadiri sambutan Hari Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 September 2026. Foto PMO
KUCHING, 16 Sep – Kurang 24 jam selepas tiba dari lawatan rasmi tujuh hari ke India dan Maldives, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini bagi menghadiri Sambutan Hari Malaysia 2026 yang diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) petang tadi.
Pesawat membawa Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching jam 4.30 petang dan disambut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta pemimpin Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

Sejurus tiba, Anwar menyaksikan Majlis Penyerahan Rasmi Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak yang berkuat kuasa pada 1 September lalu.
Anthony Loke mewakili Kerajaan Persekutuan manakala Kerajaan Sarawak diwakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas.

Pada 21 Jun lalu, Kerajaan Sarawak menyelesaikan bayaran berjumlah RM1.8 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi proses pemindahan hak milik, aset dan tanggungjawab berkaitan pelabuhan berkenaan.
Dalam majlis berkenaan, dokumen-dokumen perundangan utama telah diserahkan secara rasmi termasuk Perintah Pelabuhan-Pelabuhan (Penswastaan) (Pindaan Jadual) 2026, Perintah Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) (Tarikh Peletakhakan) 2026.

Ia termasuk penetapan tarikh permulaan kuat kuasa Akta Pengisytiharan Suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 [Akta 858] dan Penetapan tarikh permulaan kuat kuasa Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 [Akta 859].
Dalam pada itu, pada sidang media, Anwar berkata, Malaysia dan Indonesia sepakat menjalinkan kerjasama bagi menangani isu jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara beberapa negara serantau.

Menurut Perdana Menteri, beliau membincangkan isu terbabit dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, India, baru-baru ini.
“Ya, memang ada dibangkitkan… kita akan bekerjasama untuk mengurangkan kesan jerebu rentas sempadan,” katanya.

No comments:
Post a Comment