
Ahli Parlimen Jelutong MP RSN Rayer (tiga dari kiri) bersama beberapa pemimpin DAP selepas membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Jempol, Shamsulkahar Deli di Balai Polis Seremban 2 pada 28 Julai 2026. Foto RSN Rayer
SEREMBAN, 28 Jul – Beberapa pemimpin DAP membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Jempol, Shamsulkahar Deli, susulan kenyataannya yang mengaitkan parti itu dengan satu hantaran gambar yang menghina Sultan Selangor.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, berkata laporan itu dibuat hari ini di IPD Seremban 2 selepas beberapa pemimpin DAP menemui rakaman video ucapan Shamsulkahar ketika berkempen di Seremban Jaya.
Rayer diiringi Senator Dr RA Lingeshwaran, Senator S. Thiagarajan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, S. Preakas.
Dalam satu kenyataan, Rayer berkata Shamsulkahar, yang juga Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), didakwa merujuk kepada satu gambar yang menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebelum bertanya mengapa DAP berani melakukan perkara seperti itu.
Beliau berkata kenyataan Shamsulkahar telah memberikan gambaran salah kepada orang ramai bahawa DAP bertanggungjawab menghasilkan imej tersebut.
Rayer turut menuduh pemimpin Umno itu mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan berniat jahat terhadap DAP, serta menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh.
Sebelum ini, Bukit Aman dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun Facebook ‘Huayan The Pureland Learning Centre’ dipercayai memuat naik kandungan menghina Sultan Selangor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada Februari lalu, Sultan Selangor menzahirkan pendirian tidak berkenan jika ada mana-mana kawasan dijadikan tempat penternakan babi.
Lantaran kontroversi menyusuli kenyataan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki berhubung penternakan babi secara moden, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menyangkal tuduhan bahawa partinya tidak menghormati institusi diraja.




No comments:
Post a Comment