Iyerker
Seorang penduduk DUN Kota mendedahkan, permintaan menaikkan elaun imam, siak dan bilal pernah ditolak ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), namun akhirnya dilaksanakan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan.
Orang lama itu berkata beliau masih mengingati satu majlis yang dihadiri Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan di Surau Kampung Sungai Mengkuang.
Menurutnya, pada majlis tersebut seorang siak mengambil peluang memohon supaya kerajaan negeri menaikkan elaun imam, siak dan bilal kerana kadar yang diterima ketika itu terlalu rendah.
“Tok Mat datang merasmikan surau. Masa itu ada siak minta elaun imam, siak dan bilal dinaikkan.
“Jawapan yang diberi ialah kerajaan negeri tiada peruntukan,” katanya.
Bagaimanapun, Haji Mahmud berkata keadaan berubah selepas PH membentuk kerajaan negeri apabila elaun imam, siak dan bilal dinaikkan.
“Masa PH ambil alih kerajaan negeri, elaun terus dinaikkan. Malah mereka juga diberi bayaran one-off yang dinikmati oleh imam, siak dan bilal di seluruh Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata, perubahan itu menunjukkan kebajikan petugas institusi masjid dan surau diberi perhatian apabila terdapat iltizam politik untuk melaksanakannya.
Dalam masa sama, beliau turut memuji usaha calon PH DUN Kota, Ustaz Allif Ibrahim, yang menurutnya aktif membantu masyarakat walaupun belum pernah menjadi wakil rakyat.
Katanya, Ustaz Allif menggerakkan pelbagai inisiatif termasuk kelas al-Quran percuma menggunakan bas mengaji, menyediakan khidmat kereta percuma untuk membawa penduduk ke hospital, selain terus menyalurkan bantuan kebajikan kepada penduduk yang memerlukan.
Beliau turut menyifatkan kejayaan membawa kemudahan ATM pertama ke pekan Kota sebagai bukti kesungguhan Ustaz Allif menyelesaikan masalah rakyat.
“Sejak merdeka, Pekan Kota tak pernah ada ATM. Hari ini penduduk akhirnya dapat menikmati kemudahan itu hasil usaha beliau.
“Belum jadi wakil rakyat pun macam-macam dia dah buat. Jadi rakyat boleh nilai sendiri siapa yang benar-benar bekerja untuk masyarakat,” katanya.

No comments:
Post a Comment